TAIPEI: Presiden baharu Taiwan, Lai Ching-te berikrar mempertahankan demokrasi pulau itu, sambil menggesa China menamatkan pencerobohan tenteranya terhadap pulau yang diperintah sendiri sejak sekian lama.
Dalam ucapan perasmian, Ching-te, 64, juga secara langsung mahu menangani ancaman perang berikutan tekanan yang semakin meningkat dari China selama bertahun-tahun untuk membawa Taiwan di bawah pemerintahan tanah besar.
Beliau berkata, zaman kegemilangan demokrasi Taiwan sudah tiba dan beliau berterima kasih kepada rakyat kerana enggan dipengaruhi oleh kuasa luar, kerana tegas mempertahankan demokrasi.
“Dalam menghadapi pelbagai ancaman dan percubaan penyusupan dari China, kita mesti menunjukkan ketetapan kita untuk mempertahankan negara dan mesti meningkatkan kesedaran pertahanan dan mengukuhkan rangka kerja undang-undang untuk keselamatan negara,” kata Ching-te.
China menyifatkan Ching-te sebagai pemisah berbahaya kerana komen masa lalunya mengenai kemerdekaan Taiwan, retorik yang disederhanakannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Hari ini, Ching-te berkata, kerajaannya tidak akan mengalah atau memprovokasi dan akan mengekalkan status quo, keseimbangan yang memelihara kedaulatan Taiwan sambil tidak mengisytiharkan kemerdekaan rasmi.
“Saya juga mahu menyeru China untuk menghentikan ugutan politik dan ketenteraan mereka terhadap Taiwan,” kata Ching-te.
Beliau menggesa Beijing untuk berkongsi dengan Taiwan tanggungjawab global untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan dan memastikan dunia bebas daripada ketakutan perang.
Ching-te membuat cadangan berulang kali untuk menyambung semula komunikasi peringkat tinggi dengan China, yang diputuskan oleh Beijing pada 2016 apabila pendahulunya Tsai Ing-wen mengambil alih kuasa.
Beliau berkata, beliau berharap China akan memilih dialog berbanding konfrontasi.
Pakar berkata cadangan Ching-te mungkin akan ditolak.-AFP










