UTTAR PRADESH: Polis di selatan India sedang menyiasat seorang pemimpin kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) berhubung penerbitan video animasi yang didakwa menyindir umat Islam.
Kejadian itu berlaku ketika para pengkritik politik menuduh Perdana Menteri India, Narendra Modi menjalankan kempen pemilihan semula yang dilihat semakin memecah-belahkan umat Islam di negara berkenaan.
Siasatan polis dibuat ketika negara paling ramai penduduk dunia itu mengundi dalam pilihan raya besar-besaran selama berminggu-minggu di mana parti nasionalis Hindu pimpinan Modi dijangka memperoleh kemenangan bagi penggal ketiga berturut-turut.
Parti itu bagaimanapun sudah lama menafikan sebagai anti-Islam tetapi ahli politik pembangkang dan orang Islam terkemuka di India memberi amaran bahawa pemimpinnya menggunakan retorik yang memecahbelahkan secara terbuka untuk kempen mereka.
Menurut laporan polis yang dilihat oleh CNN, polis negeri Karnataka sedang menyiasat sama ada pemimpin BJP tempatan B. Y. Vijayendra dan seorang lagi pemegang akaun X tempatan yang tidak dinamakan menimbulkan permusuhan antara kumpulan agama selepas klip itu disiarkan dalam talian pada 4 Mei lalu.
Video yang tular menunjukkan karikatur pemimpin nasional Kongres, Rahul Gandhi dan Ketua Menteri Karnatakanya, Siddaramaiah memberi makan (dana) kepada seekor burung besar yang memakai kopiah Islam, sambil tidak memberikan apa-apa kepada tiga burung kecil yang menggambarkan minoriti terpinggir lain.
Burung besar itu kemudian menendang burung lain keluar dari sarang mereka sambil ahli politik Kongres ketawa.
Dalam video itu, potret besar Perdana Menteri India, Narendra Modi dipamerkan di belakangnya ketika beliau bercakap pada perhimpunan kempen pilihan raya di Meerut, India,
Video itu bagaimanapun dialih keluar semalam selepas permintaan dibuat kepada aplikasi X daripada Suruhanjaya Pilihan Raya India.
CNN menghubungi Vijayendra, BJP dan X untuk mendapatkan ulasan, namun belum mendapat sebarang jawapan.
Pengkritik berkata, manifesto Kongres tidak menyebut tentang pengagihan semula kekayaan kepada orang Islam manakala penggubal undang-undang Kongres, Manickam Tagore berkata, video itu adalah penjelmaan terang-terangan terhadap minoriti oleh BJP yang memerintah.
Manickam juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya India menangani taktik kotor berkenaan.
Ramai daripada lebih 200 juta umat Islam India menyatakan ketakutan terhadap prospek pemilihan semula Modi dan pengkritik berkata video itu sesuai dengan corak retorik Islamofobia secara terbuka semasa kempen BJP.
Bulan lalu, akaun Instagram BJP menerbitkan satu lagi animasi yang mendakwa Kongres merancang untuk mengutamakan umat Islam.
“Jika anda seorang bukan Islam, Kongres akan merampas kekayaan anda dan mengagihkannya kepada orang Islam,” kata satu suara dalam klip itu, yang sejak itu dialih keluar daripada Instagram.
Video itu mengulangi komen serupa oleh Modi yang mencetuskan perbalahan berhubung ucapan kebencian bulan lalu semasa berkempen di negeri Rajasthan yang diperintah BJP, apabila dia menuduh orang Islam yang berada di India selama berabad-abad sebagai ‘penyusup’ yang sengaja mempunyai keluarga besar untuk mengatasi majoriti penduduk Hindu.
Ucapan Modi mencetuskan kemarahan yang meluas dalam kalangan pemimpin Islam dan ahli politik pembangkang dan menggesa pihak berkuasa pilihan raya untuk menyiasat.
Jurucakap parti BJP kemudiannya berkata Modi bercakap mengenai pendatang tanpa izin.
Suruhanjaya pilihan raya meminta BJP untuk menjawab dakwaan itu.
Dalam temu bual dengan penyiar tempatan, Times Now, Modi berkata BJP tidak menentang Islam dan umat Islam.
Tetapi ramai orang Islam yang ragu-ragu dengan kenyataan Modi. -CNN










