Pokok tumbang: Mangsa ‘bertahan’ 5 minit  sebelum tidak sedarkan diri

Pokok tumbang: Mangsa ‘bertahan’ 5 minit  sebelum tidak sedarkan diri

KEJADIAN pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail. -UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lelaki yang maut dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini, semalam hanya sempat ‘bertahan’ lima minit sebelum dia dilihat tidak sedarkan diri.

 

Saksi kejadian, Muhammad Tariq Haikal yang juga ejen hartanah berkata, ketika kejadian, dia berada di bangunan di seberang jalan lokasi kejadian sebelum berlari keluar menghulurkan bantuan kepada mangsa.

 

“Saya cuba  menyelamatkan mangsa dari terus dihempap dahan pokok yang tumbang namun gagal kerana terlalu berat.

 

“Kejadian berlaku begitu pantas, mangsa dilihat masih hidup tetapi lima minit kemudian dia tidak sedarkan diri,”katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

 

Mengulas lanjut, Muhammad Tariq berkata, mangsa sempat diminta mengucap oleh orang awam yang datang membantu.

 

Seorang lagi saksi, Adey Iskandar Jalaluddin, 47, mendengar dentuman yang kuat sebelum nampak sebatang pokok tumbang menghempap beberapa kenderaan.

 

Pegawai bank itu berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 2 petang dia berada di dalam pejabat yang terletak berhampiran lokasi.

 

Terkejut dengan kejadian itu, katanya, dia segera keluar pejabat untuk ke lokasi dan melihat orang awam sedang membantu mengeluarkan dua tiga mangsa di bawah pokok.

 

“Pokok itu tumbang di laluan utama dan ketika itu difahamkan kereta sedang berhenti kerana lampu isyarat merah.

 

“Saya tidak pasti sama ada masih ada yang terperangkap atau tidak kerana bomba sedang jalankan kerja memotong pokok,” jelasnya.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, seorang lelaki meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN