BANSKA BYSTRICA: Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas ditembak dalam satu kejadian cubaan membunuh ketika beliau meninggalkan mesyuarat kerajaan, semalam.
Lelaki bersenjata itu menembak Fico, 59, lima kali, pada mulanya menyebabkan perdana menteri itu dalam keadaan kritikal dan menjalani pembedahan beberapa jam kemudian pada petang semalam.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Alam Sekitar Slovakia, Tomas Taraba memberitahu Newshour BBC, dia sangat terkejut dengan kejadian berkenaan dan sama sekali tidak menjangkakan situasi getir itu akan berlaku.
“Saya sangat terkejut. Mujurlah setakat yang saya tahu operasi berjalan lancar dan saya rasa pada akhirnya dia akan terselamat. Dia tidak berada dalam situasi yang mengancam nyawa pada masa ini,” katanya.
Taraba berkata, satu peluru menembusi perut Fico dan peluru kedua mengenai sendi.
Berita Aktuality.sk memetik sumber yang tidak dinamakan mengatakan Fico keluar dari pembedahan dan dalam keadaan stabil.
Menteri Pertahanan Slovakia, Robert Kalinak memberitahu dalam taklimat media beberapa jam sebelum itu bahawa Fico mengalami polytrauma yang serius selepas beberapa luka tembakan.
Menteri Dalam Negeri, Matus Sutaj Estok berkata, Fico berada dalam keadaan mengancam nyawa semasa berada di bilik bedah.
“Percubaan pembunuhan ini adalah bermotifkan politik dan keputusan pelaku lahir rapat selepas pilihan raya presiden,” kata Sutaj Estok, merujuk kepada pilihan raya April lalu yang dimenangi oleh sekutu Fico, Peter Pellegrini.
Tembakan di bandar Handlova di tengah Slovakia, yang menurut media Slovakia dilakukan oleh seorang lelaki berusia 71 tahun, mengejutkan negara kecil Eropah tengah itu dan mendapat kecaman antarabangsa. -REUTERS










