Nor Zamri masih di ICU, keadaan kesihatan makin baik

Nor Zamri masih di ICU, keadaan kesihatan makin baik

NOR ZAMRI LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Keadaan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff dilaporkan kini semakin beransur baik.

Sumber terdekat ADUN itu berkata, meskipun stabil dan semakin baik, Nor Zamri masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) ketika ini.

“YB (Nor Zamri) masih berehat. Dia masih di ICU tetapi keadaannya semakin baik.

“Dia juga berada dalam pemantauan doktor dan doktor maklumkan bahawa keadaannya stabil,” katanya di sini, hari ini.

Minggu lepas, media melaporkan bahawa Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu dirawat di ICU HSJ kerana mengalami komplikasi di bahagian perut.

Susulan itu, isteri Nor Zamri, Musalmah Yusop,50-an berkata, Nor Zamri memerlukan rehat yang secukupnya dan meminta orang ramai mendoakan agar suaminya kembali pulih.

Dalam pada itu, sumber yang sama memberitahu, doktor masih belum memberi makluman sama ada Nor Zamri sudah boleh dipindahkan ke wad biasa atau sebaliknya.

“Itu tak pasti lagi (pindah ke wad). Doktor masih mahu memantau keadaan YB,” katanya.

Nor Zamri yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi DUN Sungai Bakap pada Pilihan Raya Negeri yang lalu selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR apabila meraih 15,433 undi berbanding lawannya yang hanya mendapat 13,870 undi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×