Mangsa maut akibat banjir kilat, lava sejuk gunung berapi

Mangsa maut akibat banjir kilat, lava sejuk gunung berapi meningkat kepada 52 orang

SEBUAH kereta rosak dilihat di kawasan yang dilanda hujan lebat membawa banjir kilat dan tanah runtuh di Agam, wilayah Sumatera Barat, Indonesia, pada12 Mei lalu. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Jumlah mangsa maut akibat banjir kilat dan gelongsor lumpur di wilayah Sumatera Barat, Indonesia meningkat kepada 52 orang dan lebih 3,000 orang dipindahkan.

Hujan lebat pada petang Sabtu lalu mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh dan aliran lava sejuk, campuran abu gunung berapi, serpihan batu dan air seperti lumpur, di tiga daerah di wilayah Sumatera Barat. 

Semalam, jumlah kematian ialah 43 orang.

Aliran lava sejuk yang dikenali di Indonesia sebagai lahar berasal dari Gunung Marapi, salah satu gunung berapi paling aktif di Sumatera. 

Lebih 20 orang terbunuh apabila Marapi meletus pada Disember tahun lalu. 

Beberapa siri letusan telah menyusul sejak itu.

Jurucakap Agensi Bencana Sumatera Barat, Ilham Wahab berkata, daripada 52 yang maut, lebih 45 berjaya dikenal pasti.

Beliau memberitahu, penyelamat tempatan, polis dan tentera akan meneruskan usaha mencari 17 orang yang masih hilang.

Ilham berkata, 249 rumah, 225 hektar tanah termasuk sawah padi dan kebanyakan jalan utama di tiga daerah itu rosak manakala banjir surut sejak Ahad lalu.

“Selain mencari mangsa yang hilang, kami akan memberi tumpuan untuk membersihkan jalan utama daripada lumpur, kayu balak, batu besar yang dibawa banjir ke jalan raya dan penempatan,” kata Ilham.

Ketua Agensi Pengurusan dan Bencana Negara (BNPB), Suharyanto berkata, sehingga hari ini, 3,396 orang dipindahkan ke bangunan berhampiran.

Suharyanto menjelaskan, BNPB mengedarkan khemah, selimut, makanan, kit kebersihan, tandas mudah alih dan penapis air.

Bagaimanapun, pengagihan itu terhalang kerana kebanyakan jalan dipenuhi lumpur dan serpihan, katanya. -CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×