Malaysia tidak campur urus niaga syarikat pertahanan global

Malaysia tidak campur urus niaga syarikat pertahanan global

MOHAMED Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat pertahanan global dengan negara tertentu yang menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Pada masa sama, penganjur DSA-NATSEC 2024 tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu yang menyertai pameran selama empat hari tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pameran itu dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Turkiye, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Bosnia Herzegovina dan Pakistan.

“Selain negara-negara Islam, pameran ini menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan mengambil maklum terdapat desakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran tersebut.

“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di sini.

“Justeru, Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu,” katanya.

Beliau berkata, hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan.

“Penganjuran pameran ini juga sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan.

“Ia membolehkan kerajaan dari pelbagai negara dan pemain industri global meneroka pelbagai teknologi dan inovasi termaju demi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan masing-masing,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, DSA – NATSEC Asia 2024 juga adalah satu pameran yang dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur. 

“Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia.

“Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan Malaysia.

“Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas Palestin,” katanya.

Isnin lalu, media melaporkan beberapa pihak menggesa kerajaan melarang penyertaan dua syarikat yang didakwa terbabit dalam membekalkan senjata kepada tentera Israel.

Ketua Biro Antarabangsa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, dua syarikat tersebut membekal senjata dan peralatan kepada Israel yang sedang melakukan genosid ke atas Palestin, terutamanya di Gaza.

Saifuddin berkata pembabitan dua syarikat itu bercanggah dengan pendirian tegas kerajaan dan rakyat Malaysia yang selama ini menyokong dan bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN