Letusan Gunung Ruang: BNPB larang penduduk Tagulandang

Letusan Gunung Ruang: BNPB larang penduduk Tagulandang pulang ke rumah

RATUSAN penduduk beratur untuk pemindahan di Pulau Tagulandang berikutan letusan Gunung Ruang di daerah Sitaro, Sulawesi Utara, pada 1 Mei lalu. -ANTARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) terus melarang lebih 5,000 penduduk Pulau Tagulandang, Sulawesi Utara yang terjejas akibat letusan Gunung Ruang daripada meninggalkan lokasi pemindahan.

Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Abdul Muhari berkata, langkah itu diambil demi keselamatan penduduk berikutan kebimbangan letusan lebih besar.

“Tunggu sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu, jika keadaan gunung berapi itu semakin menurun dan disahkan normal, mereka yang dipindahkan akan dipulangkan ke rumah,” katanya lagi.

Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh pasukan BNPB, gunung berapi itu menjadi lebih stabil kerana tidak lagi memuntahkan abu gunung berapi.

Muhari memaklumkan, selain itu, jarak amaran yang disyorkan untuk Gunung Ruang diturunkan daripada tujuh kilometer kepada lima kilometer, selaras dengan penurunan aktiviti gunung berapi di stratovolcano.

Bagaimanapun, katanya, fakta bahawa Agensi Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral mengekalkan status Gunung Ruang di Tahap 4 atau berhati-hati perlu diambil kira kerana ia bermakna masih terdapat risiko letusan susulan. 

Walaupun sebelum ini menyasarkan untuk memindahkan 9,000 hingga 12,000 penduduk dari Pulau Tagulandang, BNPB memutuskan untuk tidak memindahkan beberapa penduduk dari pulau itu.

Menurut Muhari, keputusan itu diambil kerana cadangan jarak amaran yang lebih kecil daripada Agensi Geologi.

Terdahulu, Ketua BNPB, Suharyanto berkata, semua keperluan asas mangsa seperti makanan, kesihatan dan keperluan keselamatan akan dipenuhi sepanjang berada di lokasi pemindahan.

Sehingga Ahad lalu, sebanyak 5,849 penduduk Tagulandang dipindahkan.

“Tapak pemindahan mempunyai dapur awam dengan barangan ruji, makanan, termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan, dengan jumlah yang mencukupi dalam tempoh respons kecemasan ini,” kata ketua BNPB itu. -ANTARA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×