BAITULMUQADDIS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan Gaza kini dipenuhi dengan lebih banyak serpihan dan runtuhan bangunan berbanding di Ukraine.
Malah, ia dianggap menjadi satu tugas besar untuk kerja-kerja pembersihan yang menjadikan semuanya lebih mahal serta berbahaya dengan jumlah asbestos dan senjata yang tidak meletup.
Enam bulan selepas perang antara Israel dan Hamas, Perkhidmatan Tindakan Galian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMAS) menganggarkan jumlah serpihan bangunan di Gaza pada 37 juta tan metrik setakat pertengahan April atau 300 kilogram setiap meter persegi.
65 PERATUS BANGUNAN MUSNAH ADALAH KEDIAMAN
UNMAS turut menyatakan 65 peratus daripada bangunan yang musnah di Gaza adalah kediaman dan ia memerlukan 100 trak selama 14 tahun untuk membersihkan runtuhan berkenaan.
Ketua Program UNMAS di wilayah Palestin, Mungo Birch berkata, Gaza kini mempunyai lebih banyak runtuhan bangunan berbanding Ukraine.
“Puing-puing runtuhan ini berkemungkinan besar tercemar dengan UXO (ordnans tidak meletup), tetapi pembersihannya akan menjadi lebih rumit serta mengundang bahaya lain dalam runtuhan.
“Dianggarkan terdapat lebih 800,000 tan asbestos, contohnya sahaja di runtuhan Gaza. Mineral penyebab kanser yang digunakan dalam pembinaan ini memerlukan langkah berjaga-jaga khas apabila dikendalikan,” kata Birch kepada wartawan di Geneva.
BAHAYA UNTUK PENDUDUK AWAM
Secara amnya dianggarkan bahawa 10 hingga 15 peratus daripada amunisi (peluru) yang ditembak tidak meletup dan ia menyebabkan bahaya yang berkekalan untuk penduduk awam.
Birch menambah, beliau berharap UNMAS yang berfungsi untuk mengurangkan ancaman semua jenis senjata letupan akan menjadi sebuah badan penyelaras untuk tindakan pembersihan di kawasan Gaza.
Badan itu dilaporkan memperoleh AS$5 juta (RM28.8 juta) pembiayaan tetapi memerlukan AS$40 juta (RM190.7 juta) lagi untuk meneruskan kerja-kerjanya di Gaza dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Tambah Birch, bagaimanapun, sektor ini secara keseluruhan memerlukan ratusan juta dolar AS dalam beberapa tahun untuk menjadikan Gaza selamat semula untuk penduduk.
“Oleh kerana tahap runtuhan tidak pernah berlaku sebelum ini, ia akan memerlukan pemikiran baharu tentang bagaimana kami akan meneruskan kerja-kerja pembersihan,” kata Birch.
MASIH DALAM PERANCANGAN
Birch berkata, operasi pembersihan di Gaza masih dalam fasa perancangan.
“Metodologi tentang bagaimana kami akan melakukan itu, ia masih sesuatu yang masih dibincangkan,” katanya.
Bagaimanapun, penilaian kerja-kerja pembersihan yang tepat untuk Gaza agak sukar kerana keganasan pertempuran, pengeboman dan kesukaran akses yang berlanjutan.
“Sehingga kami mendapat akses ke utara dan boleh menjalankan penilaian, kami tidak pasti tentang tahap pencemaran di sana.
“Ia sangat berat di utara Gaza. Pasukan kami menemukan senjata yang tidak meletup dalam misi mereka ke utara dan kami percaya bahawa ia akan menjadi isu besar pada masa hadapan,” kata Birch. – AFP









