NEW YORK: Sekumpulan 13 hakim Persekutuan Amerika Syarikat yang konservatif berkata mereka memboikot atau tidak akan mengambil pelajar undang-undang atau mahasiswa dari Universiti Columbia sebagai tindak balas terhadap pengendalian demonstrasi pro-Palestin yang berlangsung selama berminggu-minggu.
Para hakim itu, semua lantikan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggelar kampus Manhattan sebagai inkubator ketaksuban dalam surat yang dikeluarkan kepada Presiden Universiti Columbia, Minouche Shafik dan Dekan Undang-Undangnya, Gillian Lester.
“Kedua-dua profesor dan pentadbir berada di barisan hadapan dalam gangguan kampus, menggalakkan penyebaran antisemitisme dan ketaksuban,” kata surat berkenaan.
Jurucakap Universiti Columbia dan Sekolah Undang-undang Columbia bagaimanapun tidak segera menjawab untuk mengulas lanjut.
Malah, Universiti Columbia semalam membatalkan majlis konvokesyen berikutan protes pro-Palestin yang berterusan.
Hakim Persekutuan dilaporkan mengupah graduan undang-undang setiap tahun untuk menjalankan kerja-kerja perkeranian selama setahun yang boleh membawa kepada pekerjaan undang-undang yang berprestij dan bergaji tinggi.
Boikot akan dikenakan kepada pelajar yang memasuki Universiti Columbia pada musim luruh ini, tulis hakim.
Surat itu menyatakan akibat serius bagi mahasiswa dan fakulti yang mengambil bahagian dalam gangguan kampus.
Bantahan terhadap perang di Gaza merebak ke berpuluh-puluh universiti di AS.
Penunjuk perasaan dikatakan mengekalkan perkhemahan mereka di kampus utama Universiti Columbia selama berminggu-minggu sebelum ada yang menduduki bangunan kampus buat sementara waktu minggu lalu.
Polis New York membersihkan bangunan itu yang dipenuhi khemah dan menahan lebih 100 orang.
Hakim-hakim yang menandatangani surat itu semalam semuanya dilantik oleh Trump yang memuji tindakan Jabatan Polis New York terhadap penunjuk perasaan, menggelar mereka orang gila yang mengamuk.
Dua pertiga daripada penandatangan berpangkalan di Texas, termasuk Matthew Kacsmaryk, yang mendapat perhatian negara tahun lalu dengan menggantung kelulusan mifepristone pil pengguguran dalam kes yang kini di hadapan Mahkamah Agung AS. -REUTERS










