Jangan bunuh semangat saya mengarah - Awie - Utusan Malaysia

Jangan bunuh semangat saya mengarah – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya tak faham kenapa orang nak bandingkan Rebel dengan filem lain?”

Demikian reaksi legenda rock dan pengarah filem, Datuk Awie apabila segelintir pihak membandingkan naskhah sulung arahannya, Rebel: Berontak Untuk Berotak dengan filem terbitan syarikat produksi gergasi dan berbajet berlipat kali ganda.

Awie yang juga vokalis kumpulan Wings berkata, tidak adil untuk membandingkan filemnya itu dengan naskhah yang kos pembikinannya berbajet mewah.

“Dari segi genre, jalan cerita dan bajet pun filem Rebel sangat berbeza dengan naskhah lain. Rebel bukanlah filem bergenre aksi berat yang menelan belanja besar.

“Jadi, jangan bunuh semangat saya untuk terus berkarya, memandangkan ini adalah filem pertama sentuhan saya selaku pengarah.

“Saya sudah hasilkan yang terbaik mengikut kemampuan dengan kekangan bajet sedia ada,” katanya.

Mengulas mengenai bajet, kata Awie, dia mengarahkan filem tersebut mengikut kapasiti dan peruntukan bajet disediakan produksi.

“Bajet filem Rebel sederhana berbanding filem lain yang memperuntukkan bajet berganda lebih besar. Saya mengarah filem ini mengikut peruntukan bajet, bukannya syok sendiri dan itulah hasilnya.

“Takkan saya nak buat dengan terlebih bajet pula? Kalau dapat bajet lebih besar, mungkin macam-macam benda saya boleh buat,” katanya.

Bagaimanapun, kata Awie, dia tidak akan patah semangat untuk terus berkarya walau apapun maklum balas diterima daripada penonton mengenai filem Rebel.

“Saya akan terus mengarah walaupun kutipan filem Rebel dilaporkan sederhana kerana itu adalah asam garam dalam pembikinan filem.

“Maklumlah, saya sendiri sudah berlakon berpuluh filem. Ada filem lakonan berjaya dan sebaliknya. Itu adalah perkara biasa dalam pembikinan filem.

“Saya sudah rancang sesuatu untuk mengarah filem dengan syarikat sendiri pada masa akan datang,” katanya.

Apapun, kata Awie, dia sangat berharap peminat beri sokongan pada filem Rebel di pawagam tanah air.

“Filem Rebel memiliki mesej dan pengajaran berguna yang mahu disampaikan kepada penonton. Antara mesej disampaikan di mana orang selalu menuding jari pada mereka yang nakal dan jahat, tapi apa punca mereka jadi begitu?

“Takkan mereka dilahirkan ke dunia terus nak jadi nakal dan jahat? Mesti ada sebab atau keadaan yang memaksa jadi begitu,” katanya.

Filem bergenre aksi itu diterbitkan Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd dengan menampilkan Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama selain dibintangi Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri.

Rebel: Berontak Untuk Berotal mengisahkan perseteruan antara dua individu, Luka (Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique) meskipun berada dalam pertubuhan yang sama.

Luka, seorang pemuda yang berasal daripada penempatan setinggan, membesar dalam keadaan serba kekurangan dan dikelilingi elemen tidak sihat seperti penagihan dadah, pelacuran dan gangsterism.

Rebel: Berontak Untuk Berotak menemui penonton pawagam di seluruh negara sejak 2 Mei lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya