Penang FC, Terengganu kongsi mata di Bandaraya

Penang FC, Terengganu kongsi mata di Bandaraya

PENANG FC berjaya mengikat Terengganu FC (TFC) dengan keputusan tanpa jaringan dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk membawa pulang tiga mata berharga dari Stadium Bandaraya tidak kesampaian apabila diikat tanpa jaringan oleh tuan rumah, Penang FC dalam aksi kedua Liga Super, malam ini.

Ini kali kedua berturut-turut skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli merekodkan keputusan seri selepas terikat juga dengan keputusan yang sama dalam aksi pertama menentang Sabah tempoh hari.

Bermula baik, tuan rumah bagaimanapun dilihat lebih banyak menguasai perlawanan khususnya pada babak-babak awal permainan.

Penang FC hampir di depan pada minit ke-15 menerusi tandukan Rodrigo Dias, namun, pertahanan pelawat, Alif Zakaria sempat menguis bola keluar sebelum ia menerjah jaring.

TFC turut berpeluang untuk memecah kebuntuan jaringan menerusi Akhyar Rashid, namun, rembatan penyerang kebangsaan itu yang membias daripada seorang pemain pertahanan Penang FC berjaya ditepis keluar oleh Sikh Izhan pada minit ke-30.

Selang lapan minit kemudian, skuad Penyu sekali lagi beroleh peluang keemasan untuk menjaringkan gol menerusi kapten mereka, Safawi Rashid.

Bagaimanapun, sepakan percuma luar kotak penaltinya berjaya ditampan oleh penjaga gol tuan rumah sebelum rembatan susulan pemain tengah, Manuel Ott ke arah gol dibatalkan kerana ofsaid.

Masuk babak kedua, kedua-dua pasukan mula menggandakan asakan untuk mencari gol pembukaan.

Skuad Harimau Kumbang sekali lagi hampir mendahului pada minit ke-68, namun, gol yang dijaringkan oleh Nabil Ahmad Latpi hasil hantaran lintang oleh Neto Oliveira dibatalkan oleh pengadil, S. Logeswaran akibat ofsaid.

Pemain gantian tuan rumah, Alif Ikmalrizal Anuar hampir membuat TFC ‘berputih mata’ pada saat terakhir permainan, namun, rembatannya berjaya ditepis penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan tanpa jaringan sehingga wisel penamat ditiupkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN