KOTA BHARU: Empat lelaki termasuk seorang penjawat awam yang menyamar sebagai anggota polis dan menyamun lapan lelaki warganegara Myanmar di Kampung Kubang Tin, Melor di cekup hari ini.
Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 29 tahun hingga 43 tahun itu semasa mereka berada di tepi jalan di kampung tersebut.
Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Superintendan Wan Ruzailan Mat Rusoff berkata, siasatan mendapati kejadian pukul 10.30 malam semalam itu berlaku semasa kesemua mangsa sedang berjalan kaki pulang ke rumah mereka.
Menurutnya, kesemua mangsa yang berusia lewat 20-an tiba-tiba ditahan oleh empat orang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Keempat-empat suspek terus merampas beg duit, telefon bimbit dan kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) milik kesemua mangsa sebelum melarikan diri.
“Kesemua mangsa itu bekerja sebagai buruh kasar. Bertindak atas maklumat dan risikan, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kemudiannya berjaya menahan keempat-empat suspek di kampung yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Ruzailan memberitahu, siasatan mendapati, salah seorang suspek merupakan penjawat awam manakala tiga lagi lelaki bekerja di kedai mencuci kereta di sekitar daerah ini.
Katanya, tiga buah motosikal, topi keledar dan sejumlah wang tunai turut dirampas semasa tangkapan dijalankan.
“Kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula hari ini hingga Sabtu depan.
“Pada masa sama, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai anggota polis,” ujarnya.-UTUSAN











