Israel sasar wanita, kanak-kanak

Israel sasar wanita, kanak-kanak

RAKYAT Palestin membeli barangan keperluan di pasar sementara berhampiran bangunan yang rosak teruk di Khan Younis, Selatan Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Israel semakin giat menyerang golongan wanita dan kanak-kanak bertujuan menghapuskan generasi rakyat Palestin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, warga Malaysia yang pernah terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron berkata, Israel sedang rancak melakukan pembunuhan beramai-ramai dan meningkatkan serangan mereka dengan menyasarkan wanita dan kanak-kanak.

Katanya, mereka semakin berani melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan mengebom tempat perlindungan keluarga.

“Sekarang kebanyakan mangsa pembunuhan berlaku beramai-ramai, maksudnya satu keluarga yang terbunuh boleh mencapai sehingga 50 orang yang syahid.

“Mereka juga suka menyerang wanita dan kanak-kanak bagi menghapuskan generasi rakyat Palestin,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan lebih 100 trak bantuan sampai ke Gaza selepas wujud perjanjian untuk mengalihkannya melalui lintasan sempadan Ke­rem Shalom tetapi bekalan belum dapat diagihkan berikutan sera­ngan berterusan Israel.

Penghantaran amat diperlukan kerana hanya sedikit bantuan dikatakan sampai ke selatan Gaza sejak 6 Mei lalu apabila Israel menguasai bahagian Palestin di sempadan Rafah, kira-kira 3.5 kilometer dari Kerem Shalom dan pintu masuk utama ke Gaza untuk bekalan kemanusiaan dan komersial.

Dalam pada itu, perkembangan terkini daripada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) menyatakan, seramai satu juta penduduk Gaza telah berpindah dari pusat bandar Rafah ke Al-Mawasi dan kawasan zon selamat yang telah diisytiharkan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan di Gaza, setakat ini lebih sembilan keluarga terbunuh akibat pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera Israel.

Bukan itu sahaja, sebilangan mangsa masih lagi berada di bawah runtuhan dan ambulans serta krew pertahanan awam tidak dapat berhubung dengan mangsa yang terperangkap.

Jumlah korban pencerobohan Zionis juga meningkat lebih 35,800 syahid dan 80,011 cedera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×