Israel paksa penduduk Rafah berpindah

Israel paksa penduduk Rafah berpindah

KANAK-KANAK berjalan di kem untuk orang yang kehilangan tempat tinggal di Rafah, selatan Gaza di sempadan dengan Mesir pada 28 April lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mula memindahkan secara paksa penduduk Gaza yang tinggal di timur Rafah ke zon selamat, Al Mawasi, menjelang operasi ketenteraan yang dijangkakan bila-bila masa di bandar selatan Gaza itu.

Tentera dalam kenyataan berkata, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menggalakkan penduduk Rafah timur untuk maju ke arah kawasan kemanusiaan yang ditetapkan.

PEMINDAHAN 100,000 PENDUDUK

Setakat ini, tentera Israel berkata, ia memindahkan kira-kira 100,000 orang dari timur Rafah.

“Anggarannya adalah sekitar 100,000 orang,” kata jurucakap tentera kepada wartawan apabila ditanya berapa ramai orang yang dipindahkan.

Kira-kira 1.2 juta orang kini berlindung di Rafah, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Prospek pencerobohan di Rafah mencetuskan kebimbangan besar daripada kumpulan bantuan global dan pemimpin dunia.

ISRAEL BELUM BENTANG PELAN

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, Israel masih belum membentangkan pelan yang boleh dipercayai untuk benar-benar melindungi orang awam yang berada dalam bahaya dan tanpa rancangan sedemikian, AS tidak dapat menyokong operasi ketenteraan besar ke Rafah.

Tidak lama selepas perang di Gaza bermula pada 7 Oktober lalu, Israel memberitahu penduduk Palestin yang tinggal di utara Gaza untuk berpindah ke zon selamat di selatan wilayah itu termasuk Rafah.

Tetapi Rafah berulang kali dibom dari udara dan rakyat Palestin kerap mengatakan bahawa tiada kawasan Gaza yang selamat.

“IDF memperluaskan kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi untuk menampung peningkatan tahap bantuan yang mengalir ke Gaza,” kata kenyataan tentera itu, merujuk kepada kawasan pantai berhampiran Rafah.

“Pagi ini … kami memulakan operasi skop terhad untuk memindahkan sementara penduduk di bahagian timur Rafah,” kata jurucakap tentera kepada wartawan dalam taklimat dalam talian. “Ini adalah operasi skop terhad.”

PINDAH SEMENTARA

Dalam kenyataannya, tentera Israel menambah bahawa mesej untuk berpindah sementara ke kawasan kemanusiaan akan disampaikan melalui poster, mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS), panggilan telefon dan siaran media dalam bahasa Arab.

Tentera mendakwa ia mengejar kumpulan Hamas di mana-mana sahaja di Gaza dan akan terus berbuat demikian sehingga semua tebusan yang mereka tangkap dalam kurungan pulang ke rumah, kata kenyataan itu.

AS DIDAKWA HENTI HANTAR PELURU

Dalam perkembangan lain, Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden didakwa menghentikan penghantaran peluru buatan negara itu ke Israel.

Lapor laman web berita AS, Axios, memetik kenyataan dua pegawai Israel, ini adalah kali pertama sejak serangan 7 Oktober lalu bahawa AS menghentikan penghantaran senjata untuk tentera Israel.

Langkah ini menimbulkan kebimbangan besar dalam kerajaan Israel, mendorong pegawai untuk mendapatkan penjelasan tentang mengapa penghantaran itu ditangguhkan.

Sebelum ini, pengendalian perang oleh Biden mendapat kritikan daripada rakyat AS yang menentang sokongan membabi-butanya terhadap Israel.

Pada bulan Februari lalu, pentadbiran Biden meminta jaminan daripada Israel bahawa senjata buatan AS itu digunakan oleh tentera Israel di Gaza mengikut undang-undang antarabangsa.

Israel dilaporkan memberikan jaminan ini dalam surat yang ditandatangani pada bulan Mac lalu. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN