MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. memberitahu pihaknya tidak akan menggunakan meriam air atau sebarang senjata untuk membuat serangan di Laut China Selatan.
Marcos berkata, pihaknya enggan meningkatkan ketegangan di laluan air yang strategik itu.
“Kami tidak akan mengikut pengawal pantai China dan kapal China di jalan itu,” kata Marcos.
Beliau menambah, misi tentera laut dan pengawal pantai Filipina adalah untuk meredakan ketegangan dan tidak ada rancangan untuk memasang meriam air pada kapal.
Bagaimanapun, kedutaan China di Manila tidak segera menjawab permintaan pemberita untuk memberi sebarang komen.
Minggu lalu, Manila membantah penggunaan meriam air oleh Beijing terhadap kapal Filipina di beting yang dipertikaikan di Laut China Selatan, menyifatkannya sebagai gangguan dan gerakan berbahaya, selepas peningkatan ketegangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
China menuntut kedaulatan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan, saluran untuk lebih AS$3 trilion perdagangan bawaan kapal tahunan, termasuk bahagian yang dituntut oleh Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei.
Tribunal antarabangsa pada 2016 berkata, tuntutan meluas China tidak mempunyai asas undang-undang, keputusan yang ditolak oleh Beijing. -REUTERS










