PETALING JAYA: Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) menjalin usahasama dengan pengendali pasar raya segar dan runcit,Segi Value Holding Sendirian Berhad (SVH) bagi penjenamaan semula kedai D’Mart.
Pembukaan semula D’Mart dengan model perniagaan baharu tersebut menyasarkan barangan runcit dan segar dengan harga kompetitif kepada komuniti di Tanah Rancangan FELDA.
Pengerusi FELDA, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, penjenamaan semula dengan nama D’Mart Segi Fresh yang diterajui KPF Trading Sendirian Berhad itu memberi lebih banyak manfaat kepada komuniti FELDA.
“Sejak awal penubuhan, kedai runcit ini memberi kemudahan kepada warga peneroka untuk mendapatkan barangan runcit dengan lebih mudah.
“Malah barangan segar seperti ayam, daging, makanan laut dan sayur-sayuran turut ditawarkan di samping barang runcit lain yang berkualiti serta pada harga yang berpatutan,” kata beliau semasa berucap pada majlis perasmian pembukaan semula D’Mart Segi Fresh di Felda Mempaga Dua di Karak Bentong.
Ahmad Shabery berkata, cawangan tersebut akan menjadi titik permulaan kepada pembukaan semula cawangan D’Mart di seluruh Tanah Rancangan FELDA dengan imej baharu yang lebih segar, selain yakin memberi manfaat kepada komuniti itu untuk jangka masa panjang.
Sementara itu Pengerusi D’Mart Segi Sdn.Bhd. (D’Mart Segi), Datuk Sri Syed Razlan Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkata, D’Mart Segi Fresh mampu memberi nilai tambah seterusnya membawa jenama ini ke satu peringkat yang lebih cemerlang pada masa depan. – UTUSAN










