LOS ANGELES: Legenda bola sepak Jerman, Lothar Matthäus tidak berselindung apabila mengakui gembira melihat Brazil tersingkir daripada Piala Dunia 2026, sambil menyifatkan sikap mementingkan diri Neymar menjadi antara punca kejatuhan skuad Selecao.
Bekas kapten Jerman itu melancarkan kritikan pedas selepas Brazil dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Norway pada aksi pusingan 16 terbaik, sekali gus menamatkan impian juara dunia lima kali itu untuk memburu gelaran keenam.
Menerusi kolumnya di Sky Germany, Matthaus mengakui sudah muak dengan sikap pemain Brazil yang gemar merungut dan mencetuskan provokasi di atas padang.
“Ia amat menggembirakan saya apabila melihat Brazil tersingkir. Saya sudah tidak tahan melihat sikap suka merungut dan kerenah melampau mereka di atas padang,” katanya.
Menurut Matthaus, insiden sepakan penalti pada penghujung perlawanan menggambarkan mentaliti sebenar Brazil apabila Neymar lebih mengutamakan aksi psikologi berbanding membantu pasukan mengejar keputusan.
Ketika Brazil ketinggalan 1-2 hasil dua jaringan Erling Haaland, pasukan itu dihadiahkan sepakan penalti selepas Leo Østigård mengasari Casemiro di dalam kotak penalti.
Namun, Neymar memilih untuk bertengkar dan memprovokasi penjaga gol Norway sebelum menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-100, yang akhirnya sekadar menjadi gol sagu hati buat Brazil.
“Daripada mengambil sepakan penalti dengan cepat, Neymar sengaja bertengkar dengan penjaga gol sebelum dan selepas rembatan. Tingkah laku itu jelas menunjukkan dia meletakkan ego mengatasi kejayaan pasukan,” katanya.
Matthaus turut membandingkan Brazil dengan Perancis yang menurutnya memiliki semangat berpasukan jauh lebih tinggi.
Katanya, pemain seperti Kylian Mbappé dan Ousmane Dembélé sanggup mengetepikan kepentingan individu demi memastikan pasukan meraih kemenangan. – AGENSI/UTUSAN










