Agong, Raja Permaisuri lawat Singapura

Agong, Raja Permaisuri lawat Singapura

Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Tharman Shanmugaratnam di Istana Singapura, semalam. Turut berangkat Raja Zarith Sofiah. – FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Singapura semalam bagi mengadakan lawatan negara selama dua hari sehingga esok.

Keberangkatan Seri Paduka berdua dari Istana Besar Johor di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam menaiki kereta melalui Tambak Johor selepas Istiadat Mengucap Selamat Keberangkatan Sempena Lawatan Negara.

Dalam istiadat itu, Seri Paduka berdua menerima tabik hormat diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dengan diiringi lagu Negaraku dan doa keberangkatan pula diketuai Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Perkara itu dikongsikan dalam hantaran menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Lawatan ke Singapura itu atas jemputan Presiden Singa­pura, Tharman Shanmugaratnam dan merupakan lawatan negara pertama Seri Paduka selepas menaiki takhta pada 31 Januari lalu.

Dalam rangka lawatan ke Singapura itu, Seri Paduka berdua dijadualkan menerima sambutan negara di Istana Singapura, diikuti pertemuan bersama Tharman dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Tharman juga akan meraikan Seri Paduka berdua dalam satu majlis santapan negara.

Pada lawatan hari kedua, Sultan Ibrahim dijadualkan berkenan melawat Parlimen Singapura serta melihat perkembangan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singa­pura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×