JAKARTA: Media sosial Instagram dipenuhi dengan video kilat yang menyabung di puncak Gunung Ruang ketika ia meletus.
Gunung yang terletak di Kabupaten Sitaro, Sulawesi Utara itu pertama kali meletus dengan letupan berlaku pada Selasa lalu, pukul 9.45 malam (waktu tempatan).
Salah satu akaun Instagram yang memuat naik video kilat muncul di puncak Gunung Ruang ketika letusan berlaku adalah @undercover.id.
Dalam video yang beredar, kilat boleh dilihat menyambar ke atas dan ke bawah, betul-betul di tengah-tengah tiang abu yang naik ke langit.
Puncak Gunung Ruang juga dilihat terbakar akibat lemparan bahan gunung berapi dan kilatan petir.
Jadi, bagaimana kilat boleh muncul di puncak Gunung Ruang apabila letusan berlaku?
Ketua Pasukan Pemerhati Gunung Berapi Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia, Heruningtyas Desi Purnamasari menjelaskan, fenomena ini adalah kilat gunung berapi yang bukan disebabkan oleh klimatologi atau faktor iklim.
“Ini adalah manifestasi apabila kilat keluar dalam bentuk pelepasan cas elektrik akibat proses letusan,” kata Heruningtyas ketika dihubungi Kompas.com hari ini.
Heruningtyas berkata, penampilan kilat gunung berapi adalah berbeza dengan kilat yang berlaku sebelum hujan turun.
“Kilat yang berlaku disebabkan faktor klimatologi boleh dilihat secara visual dalam keadaan langit yang mendung dan diikuti dengan hujan manakala kilat gunung berapi muncul di kawasan lajur letusan,” jelasnya.
Kilat gunung berapi, sambung Heruningtyas, boleh berlaku di beberapa gunung berapi, salah satunya Gunung Marapi yang meletus pada tahun lalu
Heruningtyas menjelaskan bahawa kilat gunung berapi menghasilkan tenaga elektrik statik yang biasanya berlaku dari dalam lajur letusan.
Ini boleh dialami oleh gunung berapi yang mempunyai letusan letupan.










