Rusdi Ramli tidak dedah hal rumah tangga, bimbang bawa mudarat - Utusan Malaysia

Rusdi Ramli tidak dedah hal rumah tangga, bimbang bawa mudarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Rusdi Ramli, memilih untuk tidak membuka mulut perihal rumah tangga kerana bimbang hal berkenaan menjadi bahan bualan masyarakat.

Malah pelakon Tanda Putera itu tidak bersetuju apabila hal dalaman keluarga seseorang artis itu dicanang kepada umum meskipun ramai yang berbuat demikian.

“Kalau dahulu, kita diberitahu artis ini hak masyarakat. Sejak mula berkecimpung, saya tak pernah percaya atau pegang bahawa perkara itu adalah benda yang saya kena terima.

“Pada saya, kerja-kerja pelakon atau artis itu sahaja yang jadi hak masyarakat. Tetapi, hal peribadi tetap hak privasi dia. Tak adil sebab artis pun manusia.

“Katakanlah, seorang artikek, apabila bangunan yang dibina itu runtuh, tak ada orang bertanya siapa isteri dia?

“Jadi, kenapa tak buat kami begitu juga? Jadi, kalau hasil kerja kami buruk, hentamlah. Tapi, kalau hal peribadi, biarlah kami punya. Kalau tiada itu (privasi), tiada apa-apa lagilah yang kami miliki,” katanya.

Rusdi ditemui Utusan Malaysia semasa tayangan perdana dan sesi sidang media drama bersiri Framed.

Tegas Rusdi, bercerita mengenai situasi perkahwinan di media sosial lebih banyak membawa keburukan,

“Kadang-kadang, bila terlalu terbuka sampai cerita peribadi pun nak diberitahu, bukan menguntungkan, tapi memudaratkan banyak pihak.

“Kenapa kita nak buat benda macam itu sedangkan kita boleh elak?” katanya.

Rusdi bagaimanapun menghormati keputusan mana-mana artis yang memilih untuk bercerita mengenai kehidupan peribadi masing-masing secara terbuka.

“Itu hak masing-masing. Sesetengah orang tak kisah. Kadang-kadang, mungkin mereka suka jika cerita mereka keluar setiap hari. Kalau tidak, tak ada cerita. Pada saya, lebih baik saya diam daripada saya bercerita perkara yang tak ada.

“Hari ini, saya datang sebab drama ini. Kalau tidak, saya tak ada. Jadi, adalah sebab saya ada di khalayak sebegini, sebab kerja.

“Bahkan, kalau acara yang saya tak terbabit, saya takkan pergi. Tak diundang kan. Berapa banyak festival filem yang saya tak dijemput dan saya tak ada di festival filem itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rusdi membintangi drama bersiri Framed arahan Sein Qudsi.

Drama yang mengangkat genre penyiasatan fantasi itu yang turut membariskan pelakon antaranya Meerqeen, Mimi Lana, Sangeeta Krishnasamy, Riz Amin, Khir Rahman dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN