JOHOR BAHRU: Tiada mana-mana parti yang boleh berasa selamat mahupun menarik nafas lega, meskipun tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini berbaki kurang 24 jam.
Ini termasuklah pemain utama iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), meskipun bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tidak mahu dilihat terlalu selesa pada saat akhir.
Pentas PRN Johor memasuki fasa paling kritikal sebelum lebih 2.7 juta pemilih keluar mengundi di 1,140 pusat mengundi di seluruh negeri ini esok.
Semua pihak khususnya BN dan PH masih giat menyusun langkah menggandakan strategi sebagai pecutan akhir untuk memastikan kemenangan memihak mereka.
Siri jelajah mega, ceramah kelompok dan kempen perang saraf di media sosial juga memuncak apabila BN, PH serta Perikatan Nasional (PN) tidak membuang masa tersisa dengan menyerang lawan atau mempertahankan agenda masing-masing.
Sejak hari penamaan pada 27 Jun lalu, semua calon memastikan tempoh berkempen berjalan dengan berkesan, bukan sahaja kepada komuniti setempat tetapi pengundi luar termasuklah dari Singapura.
Bukan sahaja BN, PH dan PN, parti kecil seperti Parti Bersama Malaysia (Bersama), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)dan Parti Orang Asli Malaysia (Asli) juga mahu menamatkan kempen tanpa kesilapan.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengundi luar yang baharu tiba di kampung halaman menjadi antara keutamaan berkempen sehingga pukul 11.59 malam nanti.
Beliau berkata, selain meneruskan kempen mendekati seramai mungkin pengundi secara bersemuka dan media sosial, jentera di setiap DUN juga diminta melakukan solat hajat malam ini.
“Di Johor, saya telah arahkan jentera-jentera BN untuk terus santuni pengundi termasuklah yang baharu pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi. Kita akan terus santuni mereka seperti biasa walaupun pada hari terakhir berkempen.
“Namun, program terakhir sempena PRN Johor ini saya akan minta semua kawasan khususnya jentera-jentera UMNO untuk menunaikan solat hajat dan berdoa. Berdoalah agar kesemua rakyat Johor selamat menunaikan tanggungjawab mereka dan agar kita dipermudahkan urusan pada hari mengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Gelanggang PRN Johor Ke-16 menjadi medan pertembungan antara BN dan PH apabila kedua-dua parti bertanding di kesemua 56 kerusi.
PN yang berdepan pelbagai konflik dalaman bertanding di 33 kerusi DUN sementara Bersama bertanding di 15 kerusi.
Selain itu, Muda bertanding empat kerusi, enam calon Bebas dan masing-masing seorang calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Asli.
Sementara itu, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya akan memanfaatkan hari terakhir berkempen dengan mengadakan siri ceramah mega.
“Selain ceramah-ceramah yang diadakan secara bersama antara pemimpin parti-parti komponen dalam PH, kita juga akan adakan ceramah besar-besaran secara berasingan di kawasan bersesuaian masing-masing.
“Ceramah ini bertujuan mengumpulkan seramai mungkin orang ramai, jadi strategi ini diambil bagi memastikan rakyat Johor tidak kira latar belakang atau lokasi tempat mengundi akan mendapat penjelasan tentang hala tuju Johor di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Dalam pada itu, Pas yang bertanding di 11 kerusi atas tiket PN mengakui keperluan memperhebatkan kempen turun padang serta platform media sosial pada hari terakhir berkempen.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, kedua-dua pendekatan itu digerakkan secara serentak kerana terbukti berkesan mendekati seramai mungkin pengundi menjelang hari pengundian.
Menurutnya, tumpuan utama ketika ini adalah menyantuni pengundi secara bersemuka bagi menyampaikan mesej parti, di samping memperkukuh penyampaian maklumat dalam talian.
“Kombinasi pendekatan fizikal dan digital diyakini mampu memperluaskan capaian kempen, selain memastikan maklumat berkaitan calon serta manifesto dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga menggunakan logo PN di 16 kerusi turut meningkatkan gerak kerja untuk memikat pengundi menjelang 24 jam terakhir.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, partinya tidak akan leka, sebaliknya terus mempergiat usaha mendekati pengundi di semua kerusi ditandingi.
Beliau berkata, setakat ini semua calon Bersatu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat, sekali gus meningkatkan potensi untuk menang.
“Alhamdulillah setakat ini kempen Bersatu Johor berjalan dengan sangat lancar, ramai pengundi yang saya sudah berjumpa, tanpa mengira kaum, semua kita santuni di pelbagai tempat.
“Menjelang 24 jam terakhir ini, saya sebagai calon di DUN Bukit Kepong akan terus bergerak aktif, jumpa seramai mungkin dan memastikan media menularkan setiap aktiviti dan program saya,” katanya. – UTUSAN










