MUKADIMAH
Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin menjadi salah satu kerusi tumpuan setelah Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan nama besar Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat dan mengambarkan kesungguhan gabungan itu untuk memperluaskan pengaruh di zon selatan negeri ini.
Namun penyandang kerusi tersebut yang juga calon BN, MOHD. HAIRI MD. SHAH tidak melihat cabaran itu sebagai sesuatu yang luar biasa.
Mohd. Hairi kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD FAIZAL HASHIM berkongsi keyakinan untuk mempertahankan kerusi itu berdasarkan rekod dan pencapaiannya selama lima tahun.
UTUSAN: Peluang BN untuk mempertahankan DUN Larkin?
MOHD. HAIRI: Saya lihat peluang itu ada tetapi tidak boleh mengambil sikap sambil lewa. Saya meneruskan gerak kerja seperti biasa secara konsisten menyantuni pelbagai antaranya golongan usahawan, ziarahi orang sakit, dekati belia dan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
Apa telah dilaksanakan sepanjang lima tahun sebagai ADUN Larkin?
Alhamdulillah sepanjang penggal ini, 46 projek pembangunan telah dan sedang dilaksanakan, 25 projek telah siap sepenuhnya, selebihnya sedang rancak berjalan.
Daripada aspek perumahan Larkin, isu setinggan seperti di Kampung Sri Paya, Kampung Seri Kenangan, Kampung Ungku Mohsin telah pun dipindahkan ke satu lokasi yang lebih elok. Flat Larkin jugak telah kita naik taraf untuk memberi keselesaan kepada penghuninya, tidak lupa juga pelbagai rumah ibadat yang turut dinaiki taraf.
Komen isu Tanah Rizab Melayu Kampung Melayu Majidee yang menjadi modal politik.
Isu ini bukan perkara baharu, malangnya ia menjadi modal politik yang memberi persepsi kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa membantu penduduk. Status tanah ini adalah pegangan pajakan, sukar untuk ditukar menjadi pegangan bebas.
Jadi, apa yang kerajaan buat ialah dengan mengambil pendekatan membantu penduduk membuat permohonan sambung pajakan serta menawarkan diskaun premium 50 peratus untuk meringankan beban penduduk, ini cara kita memperjuang hak mereka dalam kerangka undang-undang.
Apa terus dilakukan sekiranya terus diberikan mandat?
Pertamanya, saya mahu selesaikan isu pembangunan yang masih tertunggak, seterusnya memastikan setiap hab sukan dalam DUN Lakin ni dijaga dengan baik dan dinaik taraf. Saya juga mahu menyediakan tempat rekreasi yang sesuai untuk seisi keluarga.
Sudah tentu saya mahu infrastruktur seperti jalan raya ditambah baik dan dilebarkan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas, saya juga berhajat untuk meneruskan program bantuan kebajikan, lebih banyak Tabika Kemas Bangsa Johor dan Sekolah Rintis Bangsa Johor dibuka di DUN Larkin.
Pesanan untuk pengundi di DUN Larkin yang ramai bekerja di Singapura.
Saya menyeru mereka ini tidak mengabaikan tanggungjawab mereka pada sebagai pengundi, esok. Jangan lupa berapa besar jasa Menteri Besar Johor yang kerap membuat lawatan ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi memastikan kelancaran perjalanan rakyat Johor yang berulang-alik mencari rezeki di Singapura. Desakan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang konsisten memungkinkan perkhidmatan di BSI bertambah baik.










