PETALING JAYA: New Pantai Expressway Sdn. Bhd. (NPE), anak syarikat milik penuh IJM Corporation Berhad melancarkan sukuk berkaitan kelestarian (SLS) pertama di dunia bagi projek lebuh raya bernilai RM54 juta, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam pembiayaan infrastruktur mampan di peringkat global.
NPE berkata, sukuk yang diterbitkan di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) tanpa penarafan bernilai sehingga RM1.42 bilion.
“Instrumen pembiayaan ini menghubungkan prestasi kemampanan projek secara langsung dengan syarat pembiayaan menerusi petunjuk prestasi utama (KPI), menjadikannya antara inovasi terkini dalam pasaran kewangan Islam dan pembiayaan mampan.
“Dana yang diperoleh akan digunakan bagi membiayai pembinaan New Pantai Highway Extension (NPE2), lebuh raya bertingkat sepanjang 6.4 kilometer (kira-kira 15.8 kilometer termasuk laluan susur), yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040,” katanya dalam kenyataan.
Projek itu akan menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam dengan Persimpangan Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra, sekali gus memperkukuh jaringan antara Lebuhraya NPE, Sungai Besi Expressway (Besraya) dan Lebuhraya Laluan Istana-Kiara (LIKE).
Apabila siap menjelang penghujung 2029, projek tersebut dijangka meningkatkan aliran trafik serta memperbaiki akses ke pusat bandar Kuala Lumpur.
Pembinaan NPE2 dilaksanakan oleh IJM Construction Sdn. Bhd. menerusi kontrak reka dan bina yang dianugerahkan pada November 2025. Projek kini berjalan mengikut jadual.
Dari sudut kelestarian, pembinaan lebuh raya itu akan menggunakan komponen konkrit pratuang, acuan keluli boleh guna semula, sistem penuaian air hujan, aplikasi tenaga solar serta lampu cekap tenaga bagi mengurangkan penggunaan tenaga operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, penerbitan sukuk tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk mengintegrasikan akauntabiliti yang boleh diukur dalam setiap pelaksanaan projek.
Katanya, selain meningkatkan kesalinghubungan di Lembah Klang, struktur pembiayaan itu memastikan aspek keselamatan pekerja dan prestasi kelestarian menjadi sebahagian daripada kejayaan projek.
“Maybank Investment Bank Berhad dan CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama serta penasihat penstrukturan kelestarian bersama bagi transaksi berkenaan,” katanya. – UTUSAN










