WASHINGTON: Pemimpin-pemimpin dan aktivis dunia menyelar tindakan Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan pakej senjata baharu bernilai AS$2.5 bilion (RM11.8 bilion) yang terdiri daripada bom dan jet pejuang kepada Israel.
Tindakan ini sejajar dengan matlamat kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berjanji untuk melancarkan serangan di Rafah, tempat perlindungan terakhir lebih daripada sejuta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza.
Lapor Washington Post, menurut Pentagon dan pegawai Jabatan Negara AS, walaupun menyatakan kebimbangan mengenai korban awam di Gaza, pakej senjata White House yang diluluskan termasuk lebih 1,800 bom MK84 900 kilogram (kg) dan 500 bom MK82 225 kg.
KEMUSNAHAN SEJAUH 300 METER
Menurut akhbar tersebut, bom seberat 900 kg itu yang boleh mendatangkan kemusnahan kepada orang ramai sehingga 300 meter jauhnya yang dikaitkan dengan kejadian mangsa besar-besaran sebelum ini sepanjang kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di aplikasi X, Kementerian Luar Palestin mengecam tindakan Washington dan menuntut Netanyahu untuk berhenti membunuh orang awam dan membekalkannya dengan senjata adalah percanggahan prinsip dan moral yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
KESAL UNSC DAN ICJ GAGAL
Kementerian itu juga menyatakan kekesalan terhadap kegagalan berterusan di pihak Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk memastikan Israel menghormati keputusan mereka.
Ahli politik Palestin yang turut berkhidmat sebagai jurucakap rasmi delegasi Palestin ke proses damai Asia Barat, Hanan Daoud Ashrawi berkata, tindakan Presiden AS, Joe Biden amat mengejutkan.
“Kemunafikan kata-kata kosong Biden mengenai bencana kemanusiaan di Gaza sambil menghujani Israel dengan bekalan ketenteraan paling maut, merosakkan, menghancurkan bangunan dan manusia serta-merta adalah mengejutkan!,” katanya dalam catatan di aplikasi X.
Kumpulan Palestin, Hamas sangat mengutuk pemindahan senjata terbaharu AS ke Israel dengan mengatakan bahawa pakej senjata hanya mengesahkan perkongsian penuh pentadbiran ini dalam perang pemusnahan kejam terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Hamas berkata, langkah itu menunjukkan AS hanya bertegas untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan melindungi orang awam untuk menutup jenayah yang sedang dilakukan rakan sekutunya, Israel.
“Kami menyeru masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengenakan larangan sepenuhnya terhadap pembekalan senjata kepada entiti penjenayah Zionis dan mengambil langkah untuk menghentikan pencerobohan yang membawa kepada penaklukan selain pemimpinnya bertanggungjawab di atas pelanggaran dan jenayah terhadap kemanusiaan yang mereka lakukan,” tambah Hamas.
HENTI BEKAL SENJATA KE ISRAEL
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi menyeru masyarakat antarabangsa supaya berhenti membekalkan Israel dengan senjata.
Katanya, agensi PBB menceritakan kisah seram penderitaan di Gaza.
“Jelasnya, lebih 30,000 penduduk terbunuh. Lebih dua juta orang kelaparan. Fakta ini memalukan dunia.
“Senjata mesti berhenti mengalir ke Israel. Israel mesti dipaksa untuk menamatkan malapetaka ini. Inilah yang dituntut oleh undang-undang antarabangsa, nilai kemanusiaan,” tambahnya.
Bekas menteri kewangan Greece dan pengasas parti politik Greece MeRA25, Yanis Varoufakis menggelar Biden sebagai penjenayah perang.
“Pada 2001, Presiden Rusia, Vladimir Putin mendapat label jenayah perang ke atas Chechnya. Pada tahun 2003, Bush-Blair adalah penjenayah perang iaitu Iraq. Sepanjang enam bulan lalu, Biden terlibat dalam jenayah perang Israel. Hari ini, dengan keluaran senjata terbaharu ini, Biden menjadi penjenayah perang sepenuhnya juga.
“AS tidak boleh merayu kepada Netanyahu untuk menghentikan pengeboman orang awam suatu hari nanti dan seterusnya menghantar beribu-ribu lagi bom seberat 900 kg kepadanya yang boleh meratakan seluruh blok bandar,” katanya dalam catatan di X.
TUNJUK PERASAAN KECAM AS
Sewaktu demonstrasi pro-Palestin di San Francisco, AS, penunjuk perasaan mengecam tindakan kerajaan AS yang melengkapkan senjata Israel dan dianggap sebagai keterlaluan dan tidak boleh diterima.
Penunjuk perasaan menyekat jalan raya pada Jumaat lalu selepas sebuah kapal perang AS di pelabuhan itu disyaki digunakan untuk membawa senjata ke Israel.
Mereka juga berkata mereka bimbang kapal itu, USNS Harvey Milk mungkin menghantar bekalan kepada tentera Israel ketika ia meneruskan serangan mautnya ke atas Gaza.
Menurut Jurucakap Pusat Sumber dan Penganjuran Arab, Lara Kiswani, sangat keterlaluan dan tidak boleh diterima bahawa kerajaan AS terus membiayai dan membekalkan tentera Israel ketika ia melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza.
Pergerakan global orang Yahudi dan sekutunya turut menyatakan pada aplikasi X bahawa kekejaman Israel tidak mengenal batas. –ALJAZEERA











