TEL AVIV: Beberapa penunjuk perasaan antikerajaan yang turun ke jalan-jalan di Baitulmuqaddis menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meletakkan jawatan dengan segera.
Mereka adalah adalah ahli keluarga tebusan yang ditahan di Gaza.
Bekas Perdana Menteri Israel, Yair Lapid berkata, pemimpin pembangkang sekarang menyeru kerajaan Israel untuk memberi perhatian kepada demonstrasi yang sedang berlangsung dan mempertimbangkan tuntutan penunjuk perasaan.
“Hadir di sini adalah keluarga tebusan. Mereka berdiri di luar Kirya (ibu pejabat Angkatan Pertahanan Israel di Tel Aviv), menjerit sekuat hati dan tiada siapa yang mendengar.
“Mereka melambai tangan tanda tiada siapa yang melihat. Kerajaan Israel mengabaikan kewujudan mereka,” kata Lapid semasa di perhimpunan di luar Knesset di Baitulmuqaddis.
Dalam pada itu, Danny Elgarat, abang kepada salah seorang tebusan, Itzhak Elgarat turut menyeru Netanyahu untuk meninggalkan jawatannya.
“Bibi (Netanyahu), ini adalah pengakhiran kepada perjanjian, penamatan kepada rasuah,” kata Elgarat menggunakan nama samaran yang perdana menteri itu dikenali secara meluas di Israel.
“Bibi, ini adalah penamat untuk bermain permainan dengan kami. 177 hari! Bibi, ini adalah penghujungnya!.
“Beribu-ribu lagi penunjuk perasaan berkumpul di luar Knesset iaitu Parlimen Israel, membawa bendera dan sepanduk.
“Bawa semua orang pulang sekarang. Tanpa mengembalikan tebusan, Israel tidak mempunyai justifikasi untuk wujud,” bunyi salah satu sepanduk yang dipegang penunjuk perasaan.
Polis Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa beberapa barangan piroteknik termasuk suar asap dilepaskan berhampiran penunjuk perasaan dan seorang ditangkap kerana disyaki terlibat.
Malah, pada Ahad lalu, keluarga seorang askar wanita Israel yang dijadikan tebusan di Gaza berkata, tiada berita baik selepas keluar daripada pertemuan dengan Netanyahu.
“Selepas enam bulan, kami berharap dan menjangkakan mendapat berita baik ketika rundingan berjalan,” kata bapa kepada askar yang ditangkap berusia 19 tahun, Naama Levy dalam temu bual dengan Radio Tentera Israel.
“Kami tidak menerima berita seperti itu. Sebaliknya, kami terganggu kerana rundingan berjalan perlahan,” kata bapa berkenaan. –REUTERS











