Israel berundur dari Hospital Al-Shifa

Israel berundur dari Hospital Al-Shifa

PENDUDUK Palestin memeriksa kerosakan di hospital Al-Shifa di Gaza selepas tentera Israel berundur dari kompleks yang menempatkan hospital itu, semalam. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kementerian Kesihatan Hamas di Gaza mendakwa tentera Israel berundur dari kompleks yang menempatkan hospital utama wilayah yang dikepung, Hospital Al-Shifa, beberapa hari selepas pelancaran operasi sera­ngan besar di tapak itu.

Lapor Al Jazeera, tentera Israel dikatakan membawa keluar kereta kebal dan kenderaannya dari kawasan berkenaan.

Kementerian berkata, berpuluh-puluh mayat ditemukan di kompleks itu di mana seorang wartawan AFP dan saksi melihat kereta-kereta kebal dan kenderaan berundur keluar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tentera Israel turut mengesahkan pengunduran mereka.

Saksi berkata, berpuluh-puluh serangan udara dan peluru melanda kawasan sekitar kompleks itu sebelum ini.

Pejabat media kerajaan Hamas berkata, serangan udara Israel memberi perlindungan kepada kenderaan tentera yang berundur.

Tentera melancarkan operasi serangannya pada 18 Mac lalu dan menyifatkan ia sebagai operasi tepat yang menyasarkan pejuang Hamas yang didakwa beroperasi dari kompleks itu.

Ia sebelum ini mengatakan 200 pejuang Hamas terbunuh dalam pertempuran di dalam dan sekitar Hospital Al-Shifa.

Tentera juga mengeluarkan rakaman yang didakwa menunjukkan senjata dan wang yang dirampas dari hospital yang digunakan oleh Hamas dan satu lagi kumpulan jihad Islam.

Bagaimanapun, Hamas menafikan beroperasi dari Hospital Al-Shifa dan kemudahan kesihatan lain.

“Berpuluh-puluh mayat, sebahagian daripadanya reput ditemukan dari dalam dan sekitar kompleks perubatan Al-Shifa,” kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan.

Tentera Israel berundur dari kompleks perubatan Al-Shifa selepas membakar bangunan kompleks dan menjadikannya tidak berfungsi sepenuhnya.

“Skala kemusnahan di dalam kompleks dan bangunan di sekelilingnya sangat besar,” katanya

Seorang wartawan AFP di tempat kejadian berkata beberapa bangunan di dalam kompleks itu rosak dengan beberapa kawasan menunjukkan kerosakan akibat kebakaran.

Seorang doktor memberitahu AFP, lebih 20 mayat ditemukan dan ada yang fizikalnya hancur akibat kenderaan yang berundur.

Dengan ratusan ribu penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat perang, dikatakan ratusan penduduk Gaza mencari perlindungan di Kompleks Al-Shifa sebelum ia beroperasi.

Tentera Israel mula menyer­bu Hospital Al-Shifa pada November lalu, tetapi berkata pejuang sudah kembali di kawasan berkenaan.

Serangan udara maut me­landa kawasan lain di Gaza semalam manakala pertempuran berlaku di beberapa kawasan terletak di seluruh wilayah itu.

Semalam, sekurang-kurang­nya 60 orang maut di Gaza pada waktu malam, kata kementerian kesihatan berkenaan.

Perang meletus apabila Hamas melakukan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel yang mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP rasmi Israel.

Kempen balas dendam Israel membunuh sekurang-kurang­nya 32,782 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Semalam, tentera Israel me­ngumumkan 600 askar Israel terbunuh sejak permulaan perang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini