MANADO: Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) Indonesia di Manado menambah bilangan anggota sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan bagi menangani bencana letusan Gunung Ruang di Daerah Sitaro, Provinsi Sulawesi Utara.
Lapor Antara, Ketua Basarnas Manado, Monce Brury berkata, pada masa ini, agensi itu menambah 10 anggota yang dilengkapi peralatan sokongan untuk memindahkan penduduk yang terjejas akibat letusan Gunung Ruang.
“Oleh itu, pasukan Basarnas mengerahkan 35 anggota untuk membantu menangani bencana itu,” katanya.
Jelasnya, petang semalam, Basarnas memindahkan penduduk, pekerja dan banduan di Penjara Tagulandang ke Manado.
“Basarnas akan sentiasa berkoordinasi dengan semua agensi kerajaan tempatan bagi memastikan keselamatan awam,” katanya.
Beliau berkata keamatan aktiviti Gunung Ruang semakin meningkat selepas gunung itu meletus dan memuntahkan lahar dan batu malam tadi.
Pasukan Mencari dan Penyelamat (SAR) merayu kepada orang ramai yang tinggal dalam jarak lima kilometer supaya segera berpindah bagi mengelakkan kemalangan jiwa.
Semua agensi pengendalian di Manado, termasuk tentera, polis, anggota kesiapsiagaan bencana (Tagana) dan pasukan SAR yang berpotensi, telah dihantar ke Tagulandang untuk membantu memindahkan penduduk setempat.









