MANILA: Filipina menuduh pengawal pantai China mengganggu dan merosakkan salah sebuah botnya di kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Negara itu juga menolak pendirian Beijing yang mahu mengusir dua kapal dari beting yang dipertikaikan.
Pengawal pantai Filipina berkata, dua kapalnya berada di kawasan Scarborough Shoal, medan pertempuran utama di Laut China Selatan, tetapi sebuah daripadanya mengalami kerosakan akibat penggunaan meriam air oleh dua kapal pengawal pantai China.
“Kerosakan ini menjadi bukti tekanan air kuat yang digunakan oleh pengawal pantai China dalam gangguan mereka terhadap kapal Filipina,”
“Mereka tidak dihalang dan akan terus menjalankan operasi sah mereka untuk menyokong nelayan Filipina dan memastikan keselamatan mereka,” kata jurucakap pengawal pantai Filipina Jay Tarriela dalam satu kenyataan.
Tiada negara yang mempunyai kedaulatan ke atas Scarborough Shoal yang terletak di lokasi strategik, kawasan penangkapan ikan utama yang digunakan oleh beberapa negara yang berdekatan dengan lorong perkapalan utama.
Beting itu terletak di dalam zon ekonomi eksklusif Filipina.
China menduduki lebih sedekad di sekitar lagun Scarborough Shoal yang sudah lama menjadi tempat perlindungan bagi kapal semasa ribut dan menjadi tapak konfrontasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengawal pantai China berkata, kapal itu bagaimanapun diusir tetapi tidak memberikan butiran kejadian.
Filipina berkata, kapalnya, BRP Bagacay mengalami kerosakan pada pagar dan kanopinya dan China memasang penghadang terapung di pintu masuk beting itu dengan menyekat akses ke kawasan itu.
Kedua-dua negara berkenaan saling menuduh dan Filipina baru-baru ini memanggil seorang diplomat China untuk menjelaskan apa yang dipanggil gerakan agresif.
China biasanya menuduh Filipina menceroboh wilayahnya.
China dan Filipina sebelum ini berkata mereka akan mencari komunikasi dan pengurusan yang lebih baik di sekitar pertempuran di Laut China Selatan yang luas, tetapi ketegangan meningkat baru-baru ini apabila Filipina menjalin hubungan diplomatik dan ketenteraan yang lebih kukuh dengan sekutu Amerika Syarikat.
China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan, kawasan untuk lebih AS$3 trilion (RM14.3 trilion) perdagangan bawaan kapal tahunan termasuk bahagian yang dituntut oleh Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei.
Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 berkata tuntutan meluas China tidak mempunyai asas undang-undang.
Bagaimanapun, keputusan itu ditolak oleh Beijing. -REUTERS










