Wajah ini tidak perlu pengenalan lagi.
Daripada penyampai berita termuda negara pada 1986 hingga dilantik senator mewakili golongan orang kurang upaya (OKU) pada 2020, kanvas hidup bekas Senator, Datuk Dr. Ras Adiba Radzi penuh warna.
Antara pengalaman perit saat berstatus OKU ialah dinafikan untuk bertugas di tempat kerja lamanya. Bukan sekali, bahkan berkali-kali
sepanjang enam tahun berusaha mencari rezeki.
“Enam tahun saya cuba mencari kerja tetapi tiada siapa hendak bagi peluang. Enam tahun juga saya makan nasi dengan garam dan minum air paip.
“Setiap hari saya berdoa kepada Allah untuk ambil saya semula, saya tidak tahu bagaimana untuk hidup lagi pada waktu itu.
“Sebab itu bila sekarang orang cakap hidup saya mewah, senang, saya hanya diam sahaja, mereka tidak tahu apa yang pernah saya lalui,” katanya.
Bekas personaliti televisyen terkenal ini disahkan hilang keupayaan berjalan selepas mengalami kecederaan tulang belakang tahap Thoracic 10 (T10) akibat beberapa insiden kemalangan, terpaksa menelan kenyataan perit itu.
Sudahlah kaki yang dahulunya membawa beliau ke sana sini tidak mampu berdiri, orang yang disangka sebagai sahabat pula rupanya hanyalah sekadar kenalan di waktu senang.

Enggan larut dalam kesedihan
Biarpun sudah seakan hilang arah pada waktu itu, beliau enggan terlalu larut dalam kesedihan, sebaliknya mula mendekatkan diri dengan golongan senasibnya bagi meminjam kekuatan daripada mereka yang melalui episod sama.
Mujurlah, semangat daripada sahabat-sahabat itu ‘menariknya’ kembali untuk bangun menjadi insan yang lebih berjaya daripada sebelumnya.
Aktivis masyarakat ini juga bertekad memartabatkan golongan OKU dengan segala keupayaan yang ada.
Semangat kebangkitannya itu menguak kabus yang sebelum itu mengaburi diri, membawa beliau menempa nama sebagai Tokoh Srikandi Negara 2014 dan wanita pertama dilantik sebagai pengerusi Badan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam sejarah 53 tahun agensi berita itu.
Malah, beliau juga diangkat sebagai Senator pada tahun 2020 yang mewakili golongan OKU di Parlimen selepas aktif memperjuangkan hak golongan itu.
Presiden dan Pengasas Persatuan OKU Sentral itu memulakan perjuangan advokasi, mendidik dan menyediakan bantuan untuk komuniti OKU sejak
2017.
Sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai Senator, beliau lantang bersuara untuk golongan berkenaan.
“Menjadi Senator adalah penghormatan tertinggi bukan kepada saya tetapi komuniti OKU untuk saya terus bergerak sebagai ‘suara’ mewakili mereka.
“Saya tahu bukan semua orang suka apa yang kita buat tetapi saya bekerja kerana Allah dan setiap krtikan yang bernas diambil, mana yang kurang bernas saya abaikan sahaja,” ujarnya.
Dalam bidang pendidikan OKU, pemegang Ijazah Kedoktoran Kehormat Sains Sosial dan Kemanusiaan Open University Malaysia (OUM) ini telah bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menambah bilangan pelajar OKU dalam jurusan TVET dan pendidikan berasaskan STEM.
Atas saranan beliau juga, bilangan guru buat OKU telah bertambah, guru daripada komuniti itu diperbanyakkan serta kadar keciciran mereka berkurangan.
Dengan usaha berterusan ini, tidak hairanlah beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membawa gelaran Datuk pada 2021.

Mahu bina perumahan mesra warga emas, OKU
Bukan sahaja menumpukan perhatian kepada komuniti OKU tetapi juga warga emas.
Berkongsi perancangan lanjut itu, Ras Adiba mahu membina perumahan yang mesra dua golongan tersebut memandangkan Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030.
Ia berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia kira-kira 15 peratus penduduk bakal berusia melebihi 60 tahun.
Bukan sekadar omong kosong, usaha itu telah dimulakan bersama syarikat pemaju, Sentoria Group Berhad.
Beliau yang juga Pengerusi syarikat itu berkata, ketika ini kerja-kerja pembinaan mengikut spesifikasi untuk OKU dan warga emas sudah dijalankan.
“Antaranya, pintu mengikut spesifikasi dan ini yang akan kami lakukan untuk masa depan.
“Saya juga bakal berkerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa agensi lain sebab ini adalah ekonomi silver dan kita mahu memastikan ada sokongan untuk mereka,” jelasnya.
Secara ringkas, ekonomi silver merupakan sektor baharu yang memenuhi keperluan golongan warga emas dan dalam masa yang sama memberi manfaat kepada pembangunan negara.

Bahagia dengan cara sendiri
Pertemuan kami pada pagi itu dipenuhi dengan gelak tawa semasa sesi temu bual.
Ternyata figura hebat yang sudah sinonim dengan pelbagai anugerah ini tidak langsung mendongak ke langit.
Malah, ketika di awal pertemuan kami, beliau terlebih dahulu menyapa saya dengan senyuman manis dan mengucapkan ‘selamat pagi’.
Tutur bicaranya lemah lembut dan cukup santai, malah bibirnya tidak henti memberikan senyuman manis setiap kali menjawab soalan yang diajukan.
Patutlah, di usia 56 tahun beliau masih lagi kelihatan anggun dan bergaya, persis zaman kegemilangan di televisyen suatu ketika dahulu.
Rahsia kecantikannya adalah mengamalkan kehidupan yang positif dan sentiasa memaafkan orang lain sebelum tidur untuk jiwa yang lebih tenang.
Malah, penerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa (IWOC 2023) itu juga mengamalkan prinsip untuk membahagiakan diri sendiri supaya dapat memberi impak positif kepada orang sekeliling.
“Sejujurnya yang memberi motivasi dan semangat kepada saya adalah diri sendiri. Saya terpegun dengan segala keindahan dan nikmat yang Allah beri pada dunia ini.
“Jadi, saya fikir bila Allah sudah sediakan begini, tugas saya adalah untuk menjalani kehidupan sebagaimana yang ditetapkan,” jelasnya yang juga atlet paralimpik negara .
Beliau pernah mewakili Malaysia di beberapa pertandingan antarabangsa dalam sukan menembak termasuk Sukan Para Asean Singapura, Para Asean Indonesia dan pertandingan Piala Dunia.
Di kesempatan itu juga beliau menyeru agar wanita tidak kira latar belakang dan kehidupan untuk bangun serta percaya pada diri dalam mencapai sesuatu yang diingini.
“Jangan bergantung kepada manusia untuk buat kita bahagia. Bangun dan bersiap untuk buktikan kebolehan yang ada.
“Buat perkara yang anda suka, belajarlah daripada mana-mana sahaja dengan adanya kemudahan media sosial dan internet masa kini,” sarannya.
Gulai maman juadah kegemaran raya
Bercerita tentang keseronokan lebaran yang bakal menjelang empat hari lagi, beliau tidak sabar untuk menikmati juadah raya kegemarannya, gulai maman dan pucuk ubi goreng.
Anak kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu juga sentiasa ternanti-nantikan saat untuk berkumpul bersama keluarga besarnya di kampung tatkala Syawal menjelma.
Sementelah, waktu-waktu lain jadualnya padat sebagai aktivis masyarakat, jawatan korporat dan terbaharu, bergelar Pengarah Projek Khas &
Komuniti di samping pensyarah di Limkokwing University of Creative Technology.
“Raya seronok sebab dapat berkumpul bersama keluarga besar saya dan kemudian di sebelah suami pula.
“Paling tidak sabar hendak makan gulai maman pedas bersama nasi putih dan pucuk ubi goreng. Itu memang sentiasa menjadi kegemaran saya,” ujar ibu dua anak itu.










