Bantuan kedua 400 tan kargo makanan ke Gaza

Bantuan kedua 400 tan kargo makanan ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARNACA: Sebuah tongkang dan dua kapal penyelamat bagi penghantaran kedua bantuan yang membawa hampir 400 tan metrik makanan untuk Gaza meninggalkan pelabuhan Larnaca di Cyprus pada Sabtu lalu, kata seorang saksi Reuters.

Kata saksi itu, dua kapal penyelamat berkenaan akan me­nunda bantuan makanan tersebut.

Ini akan menjadi penghantaran bantuan kedua dilakukan melalui Cyprus di mana pihak berkuasa Cyprus dengan kerjasama Israel menyediakan platform bagi memudahkan kargo tiba terus ke kawasan Palestin yang terkepung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Badan amal World Central Kitchen (WCK) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mengatur misi itu bersama-sama badan amal Spanish Open Arms dengan pembiayaan terutamanya daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan soko­ngan daripada pihak berkuasa Cyprus.

UAE bagaimanapun menyediakan kargo khas kurma yang secara tradisinya dimakan untuk berbuka puasa setiap hari semasa bulan Ramadan, kata badan amal itu.

Jurucakap kerajaan Cyprus, Konstantinos Letymbiotis berkata, flotila itu akan mengambil masa kira-kira 65 jam untuk sampai ke Gaza di mana sebuah dok sementara dibina untuk memunggah bantuan kemanusiaan.

Beliau berkata, kapal yang dinamakan Jennifer membawa 282 palet bahan makanan berjumlah 237 tan serta sebuah kren beroda yang akan digunakan untuk memunggah bantuan.

Jelasnya, tongkang ARES pula membawa 109 bungkusan bantuan seberat 95 tan metrik.

Kapal sokongan Ledra Dynamic membawa kakitangan sokongan khusus yang akan mengendalikan kren yang dibawa oleh Jennifer, tambah Letymbiotis.

Pada 15 Mac lalu, sebuah kapal pertama, Spanish Open Arms tiba di Gaza dengan tongkang yang dimuatkan dengan 200 tan metrik makanan dalam percubaan untuk koridor bantuan maritim.

Bagaimanapun, cuaca buruk di timur Mediterranean menghalang usaha pelayaran kali kedua.

Pada misi pertamanya pada awal Mac lalu, WCK membina jeti sementara dari runtuhan untuk membolehkan pemunggahan hampir 200 tan metrik makanan di kawasan terkepung itu yang tidak mempunyai sebarang kemudahan pelabuhan.

Penghantaran bantuan kelmarin termasuk dua forklift dan kren untuk membantu penghantaran marin pada masa hadapan.

Secara berasingan, AS merancang untuk membina jeti terapung di Gaza untuk menghantar bantuan dari laut.

Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides berkata, tarikh sasaran jeti itu untuk disiapkan adalah pada 1 Mei ini, tetapi ia mungkin siap sekitar 15 April ini.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini