9,000 pesakit Gaza perlu rawatan kecemasan segera

9,000 pesakit Gaza perlu rawatan kecemasan segera

GAMBAR pada 18 Februari lalu oleh WHO menunjukkan konvoi ambulans memindahkan pesakit dari hospital Nasser di Khan Younis di selatan Gaza. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Kira-kira 9,000 pesakit di Gaza memerlukan pemindahan dan rawatan kecemasan dengan wilayah Palestin yang dilanda perang kini hanya memiliki 10 buah hospital yang hampir tidak berfungsi.

Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus di aplikasi X, kini hanya 10 hospital yang berfungsi secara minimum di seluruh Gaza.

Jelasnya, sebelum perang, Gaza mempunyai 36 buah hospital.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekitar 9,000 pesakit perlu dipindahkan segera ke luar negara untuk perkhidmatan kesihatan yang menyelamatkan nyawa termasuk rawatan kan­ser, kecederaan akibat tembakan, dialisis buah pinggang dan penyakit kronik lain,” katanya.

Jumlah itu meningkat daripada 8,000 dalam penilaian sebelumnya oleh WHO pada awal Mac lalu.

Ghebreyesus berkata, setakat ini, lebih 3,400 pesakit dirujuk ke luar negara melalui Rafah termasuk 2,198 cedera dan 1,215 sakit. Tetapi ramai lagi yang perlu dipindahkan.

“Kami menggesa Israel untuk mempercepatkan kelulusan untuk pemindahan, supaya pesa­kit kritikal boleh dirawat. Setiap detik penting,” katanya.

Sebelum perang, 50 hingga 100 pesakit sehari dipindahkan ke Baitulmuqaddis Timur atau Tebing Barat, separuh daripada mereka untuk rawatan kanser.

Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas selepas sera­ngan 7 Oktober lalu yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh kumpulan itu ke atas Israel dan mengebom Gaza tanpa jeda, merosakkan banyak kemudahan penjagaan kesihatan.

Pertempuran darat juga berlangsung selama berminggu-minggu, kadang kala di sekitar hospital Gaza yang juga menyediakan perlindungan untuk beribu-ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal atau melarikan diri dari pertempuran.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan yang diperlukan oleh 2.4 juta penduduk yang kebanyakannya berkumpul di Rafah di hujung selatan wilayah itu.

Bagaimanapun, Israel mempertahankan dasar-dasarnya kerana ia mengejar matlamatnya yang dinyatakan untuk memusnahkan Hamas dengan mengatakan PBB harus menghantar lebih banyak bantuan ke Gaza.
Israel juga menolak laporan oleh PBB dan NGO bahawa pemeriksaan Israel yang me­nyusahkan, menghalang makanan dan keperluan lain ke Gaza. –AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini