KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengesahkan pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong menarik diri kejohanan Masters Sepanyol susulan pembedahan kecil ekoran kecederaan belakang yang dialaminya.
Jumaat lalu, Tze Yong kelihatan sedang menjalani latihan ringan selepas menjalani pembedahan pada akhir bulan lalu akibat kecederaan yang dialaminya ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC 2024).
Menurut Rexy, pemain berusia 24 tahun itu jelas masih dalam keadaan yang kurang cergas dan tidak selasa semasa berada di dalam gelanggang.
“Peluang dia (Tze Yong) untuk ke Olimpik memang tipis. Hanya keajaiban sahaja yang mampu bawa dia layak ke Paris.
“Dia selesa di ranking 15, namun disebabkan kecederaannya beliau terus jatuh ke-18. Hal ini menyebabkan kem badminton gusar untuk melihatnya untuk beraksi di pentas Olimpik,” ujar Rexy.
Pemain kelahiran Johor itu kini menghuni di tempat ke-18 dalam ranking kelayakan Olimpik dengan 58,735 mata.
Terdahulu, kecederaan itu memaksa beliau untuk menarik diri dua kejohanan utama, termasuk Terbuka Perancis dan All England, yang mana menawarkan mata kelayakan untuk ke Olimpik.
Tarikh akhir kelayakan Olimpik yang semakin suntuk sehingga 28 April menyaksikan peluang Tze Yong untuk membuat penampilan sulung di acara sukan terbesar dunia itu semakin tipis.
Sesebuah negara hanya boleh menghantar dua pemain dalam acara perseorangan jika kedua-dua pemain berada dalam kelompok 16 terbaik dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk ke Sukan Olimpik Paris, Julai ini.
Sehingga kini, hanya Lee Zii Jia yang berada dalam ranking terbaik, sekali gus menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan di bumi Paris.-UTUSAN










