Tanaman padi diusahakan semula selepas banjir - Utusan Malaysia

Tanaman padi diusahakan semula selepas banjir

PESAWAH mengusahakan semula tanamam padi di kawasan sawah Projek Tanaman Padi Berkelompok Paya Rapat, Hulu Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seramai 25 peserta Projek Tanaman Padi Berkelompok Paya Rapat, dekat sini menarik nafas lega apabila dapat mengusahakan semula tanaman padi selepas banjir besar yang berlaku dua kali pada Februari dan Disember 2022 lalu.

Tinjauan mendapati, mereka juga rasa syukur sumber bekalan air dari Sungai Telemong mencukupi untuk menampung keperluan walaupun cuaca panas dan kering.

Seorang peserta, Samsudin Mat Zin, 56, berkata, aktiviti bersawah di kawasan seluas 48 hektar itu dapat diusahakan semula pada Februari lalu setelah lebih setahun tidak dapat mengusahakannya.

Menurutnya, peserta mengambil masa untuk memulakan semula penanaman padi sistem pengairan mengalami kerosakan akibat banjir besar tersebut.

“Kawasan hadapan pintu rumah pam di Pasir Simpul dipenuhi pasir sekaligus mengganggu sistem pengairan di sawah tersebut sebelum dipulihkan, baru- baru ini, ” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Siti Habsah Mamat, 65, dari Kampung Tok Lawit pula berkata, sawah seluas kira-kira dua hektar yang diusahakan tidak mengalami masalah air walaupun musim panas setelah sistem pengairan dibaik pulih.

“Sepatutnya peserta usahakan tanaman padi sebanyak dua kali setahun tetapi tidak dapat berbuat demikian tahun lalu akibat banjir besar tahun sebelumnya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Unit Peladangnya, Johari Chik, 61, berkata, peserta terpaksa menanggung kerugian melebihi RM100,000 dalam dua kejadian banjir pada 2022.

Katanya, dalam kejadian banjir itu jumlah pengeluaran padi terjejas sehingga 70 metrik tan berbanding kebiasaannya 180 metrik tan padi semusim pada 2022.

Sementara itu, tambahnya, peserta juga tidak dapat mengusahakan tanaman padi pada sepanjang tahun lepas.

“Bencana banjir tersebut meninggalkan kesan terhadap 25 peserta projek yang menanam padi di kawasan seluas kira-kira 48 hektar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN