Sunat berwuduk sebelum mandi wajib

Sunat berwuduk sebelum mandi wajib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Islam begitu menitikberatkan soal kesucian sama ada zahir mahupun batin. Oleh kerana itu ilmu fikah datang untuk menjelaskan bagaimana cara untuk menyucikan tubuh badan daripada hadas dan najis.

Ilmu tasawuf pula mengajar kita cara-cara menyucikan jiwa daripada kekotoran maknawi. Garapan di antara dua ilmu adalah sangat dituntut supaya kesucian zahir dan batin benar-benar berlaku dalam diri seorang muslim.

Imam al-Bukhari meriwayatkan satu hadis seperti berikut: Daripada Saidatina Aishah; isteri Nabi SAW bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila baginda mula untuk mandi disebabkan janabah, baginda memulakan dengan membasuh kedua-dua (belah tapak) tangan baginda.

Kemudian baginda berwuduk sebagaimana untuk solat.

Kemudian baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu menyelat-nyelati punca rambut baginda dengan jari-jari. Kemudian baginda menuangkan (air) ke atas kepala sebanyak tiga kali cedukan menggunakan dua tapak tangan. Kemudian baginda menuangkan air ke seluruh kulit.

Hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah ini menceritakan perilaku Nabi SAW semasa baginda mandi junub. Saidatina Aishah menyatakan apabila Nabi SAW ingin mandi junub, baginda terlebih dahulu membasuh kedua-dua tapak tangan.

Selepas itu baginda berwuduk dengan sempurna sama seperti wuduk yang biasa dilakukan sebelum solat. Selepas berwuduk, Nabi SAW mencelupkan jari-jari tangan ke dalam air lalu menggosok-gosok kulit kepala dengan basahan yang ada pada jari-jari tangannya.

Selepas itu Nabi SAW menceduk air dalam bekas dengan menggunakan kedua-dua tapak tangan yang dirapatkan lalu menuangkan air di dalam tadahan dua tapak tangan ke atas kepala.

Baginda menceduk air sebanyak tiga kali dengan kedua-dua belah tapak tangan lalu dituangkan ke atas kepala. Selepas itu, baginda menuangkan pula air ke seluruh jasad.

Basuh Pergelangan Tangan Enam Kali

Hadis ini menunjukkan apabila kita berjunub, maka mandi wajib yang paling sempurna adalah dimulakan dengan membasuh kedua-dua pergelangan tangan. Membasuh kedua-dua pergelangan tangan sebelum mandi wajib mempunyai dua keadaan:

Keadaan pertama: Membasuh kedua-dua tapak tangan sebelum dicelupkan ke dalam air. Keadaan pertama ini mempunyai tiga kemungkinan:

Kemungkinan pertama: Para fuqaha dalam mazhab al-Imam al-Syafie menyatakan bahawa sekiranya seseorang meyakini tangannya bernajis, maka dia diharamkan mencelupkan tangannya ke dalam air yang kurang daripada dua kolah (dua kolah menyamai 191.25 kilogaram air) kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan air yang kurang daripada dua kolah menjadi air mutanajjis.

Jika air tersebut berjumlah dua qullah atau lebih, perbuatan mencelupkan tangan yang diyakini bernajis adalah tidak haram dengan syarat air yang berjumlah dua qullah atau lebih tersebut bukanlah air yang diwakafkan.

Kemungkinan kedua: Sekiranya orang tersebut tidak pasti adakah tangannya bernajis ataupun tidak, dia disunatkan membasuh kedua-dua pergelangan tangannya sebanyak tiga kali basuhan terlebih dahulu sebelum mencelupnya ke dalam air yang kurang dua kolah.

Kemungkinan ketiga: Sekiranya orang tersebut yakin pergelangan tangannya tidak bernajis, dia tidak dimakruhkan mencelupkan tangan ke dalam air yang kurang daripada dua kolah.

Keadaan kedua: Membasuh kedua-dua pergelangan tangan sebagai permulaan wuduk. Bagi keadaan kedua ini, para fuqaha dalam mazhab al-Imam al-Shafie menyatakan seseorang yang ingin berwuduk disunatkan membasuh kedua-dua pergelangan tangan sebanyak tiga kali sebelum dia berkumur-kumur.

Membasuh kedua-dua pergelangan tangan ini adalah disunatkan sekalipun kedua-dua pergelangan tangan adalah suci daripada sebarang najis dan benda-benda kotor.

Oleh kerana itu kita disunatkan berwuduk terlebih dahulu sebelum kita mandi wajib. Kita disunatkan memulakan wuduk dengan membasuh kedua-dua pergelangan tangan sebanyak tiga kali sebelum berkumur-kumur.

Oleh itu, apabila seseorang yang berjunub tidak pasti adakah tangannya bernajis atau tidak, dia disunatkan membasuh pergelangan tangannya tiga kali dahulu sebelum mencelupkannya ke dalam air.

Selepas itu dia disunatkan sekali lagi membasuh kedua-dua pergelangan tangan sebanyak tiga kali kerana orang yang berwuduk disunatkan memulakan wuduknya dengan membasuh kedua-dua pergelangan tangan sebelum dia berkumur-kumur.

Mencelupkan Tangan Ke Dalam bekas Air

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah mencelupkan jari-jari tangan baginda ke dalam air lalu menggosok-gosok rambut dan kulit kepala dengan basahan air pada jari-jari baginda.

Baginda juga telah menceduk air yang ada di dalam sebuah bekas penadah air menggunakan kedua-dua tapak tangan lalu menuangkannya ke atas kepala.

Persoalannya bukankah tindakan seseorang berjunub yang mencelupkan tangannya ke dalam air yang kurang daripada dua kolah akan menyebabkan air tersebut menjadi air musta‘mal lalu air tersebut sudah tidak lagi boleh digunakan untuk bersuci?

Secara ringkasnya, para fuqaha dalam mazhab al-Imam al-Syafie berpandangan, apabila orang berjunub yang telah berniat menghilangkan hadas besar menceduk air daripada bekas yang mengandungi air yang kuantitinya kurang daripada dua kolah menggunakan tapak tangannya, jika dia tidak berniat untuk menjadikan tapak tangannya sebagai gayung atau penceduk, air yang menyentuh tangannya akan menghilangkan hadas besar yang ada pada tangan tersebut lalu seluruh air yang berbaki dalam bekas mengandungi air itu akan berubah menjadi air Musta‘mal. Ia sudah tidak boleh lagi diguna untuk bersuci.

Namun, sekiranya orang ini sebelum dia menceduk air telah berniat bahawa tangannya adalah gayung yang berperanan untuk menceduk air, maka air yang berbaki di dalam bekas penadah tersebut selepas dia menceduk air dengan tapak tangannya tidak akan berubah menjadi air musta‘mal.

Oleh itu, secara mudahnya, apabila seseorang yang mahu mandi wajib ingin menceduk air yang kurang daripada dua kolah dalam sebarang bekas dengan menggunakan tapak tangannya secara langsung, sebelum menceduk air tersebut, dia hendaklah berniat menjadikan tangannya sebagai gayung. Dengan itu, air yang berbaki di dalam bekas air seperti tempayan, besen, baldi dan sebagainya selepas dia menceduk air tidak akan menjadi air musta‘mal.

Apa yang saya kemukakan ini hanyalah kesimpulan berkenaan peranan niat dalam menghalang air mutlak yang kurang daripada dua kolah berubah menjadi air musta‘mal.

Adapun perincian berkenaan dengan bilakah air mutlaq berubah kepada air yang tidak lagi boleh menyucikan, para pembaca perlu melihat perinciannya di dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Imam al-Syafie.

-PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN