SHAH ALAM: Selangor akan berbelanja RM8.7 juta bagi membantu membangunkan semula Gaza menerusi tanah wakafnya bagi tujuan pembinaan rumah, masjid dan menara tangki air.
Pembinaan tersebut melibatkan satu blok apartment Darul Ehsan bernilai RM3 juta, Masjid Darul Ehsan (RM4 juta) dan Menara Tangki Air Darul Ehsan (RM1.7 juta).
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, menyeru kepada rakyat dan semua pihak di negeri ini untuk sama-sama membantu meringankan penderitaan penduduk Gaza.
“Beta menyeru kepada rakyat dan semua pihak di negeri ini untuk sama-sama membantu meringankan penderitaan penduduk Gaza dengan memberi sumbgan kita agar dapat membangunkan kembali prasarana yang musnah akibat serangan tentera Zionis.
“Beta menitahkan agar pengumpulan dan penyaluran diselaraskan oleh Tabung Infaq Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) melalui akaun bank Maybank Islamic Berhad 562106718620. Beta mendoakan semoga Allah SWT member ganjaran amal soleh atas infaq yang disumbang untuk membantu umat Islam di Gaza.
“Pengumpulan dan penyaluran sumbangan diarahkan dibuat menerusi TIJARI supaya ia dibuat secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar,” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin memaklumkan baginda turut berkenan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza serta menerima sumbangan dari dana umat Islam Selangor sebanyak RM1.2 juta.
“Tabung tersebut adalah satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bagi membangunkan semula Gaza.
“Beta berkenan menerima sumbangan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebanyak RM200,000; sumbangan peribadi Menteri Besar (RM50,000) untuk disalurkan ke Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza,” jelasnya. – UTUSAN











