NEW YORK: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu bahawa hanya perluasan laluan darat untuk penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza boleh membantu mencegah kebuluran di kawasan terkepung Palestin yang padat dengan penduduk.
Lapor Al Jazeera, Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, usaha terkini untuk menghantar makanan melalui udara dan laut adalah dialu-alukan.
Tedros berkata, permintaan WHO untuk menghantar bekalan ke kawasan itu sering disekat atau ditolak oleh tentera Israel.
Beliau memberitahu, kanak-kanak sedang mati akibat kesan kekurangan zat makanan dan penyakit serta kekurangan air dan sanitasi yang mencukupi.
“Masa depan seluruh generasi berada dalam bahaya yang serius. Sekali lagi, kami meminta Israel untuk membuka lebih banyak laluan dan mempercepatkan kemasukan dan penghantaran air, makanan, bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan lain ke dalam dan dalam Gaza,” katanya.
Negara-negara termasuk Jordan dan Amerika Syarikat (AS) menghantar bantuan di sepanjang garis pantai Gaza yang dikepung, tetapi kaedah itu terbukti mahal dan tidak berkesan.
Beberapa orang terbunuh selepas payung terjun bekalan gagal dibuka menyebabkan palet merempuh sekumpulan orang yang menunggu makanan di utara kem pelarian Shati di Kota Gaza.
Sementara itu, Israel terus menyekat kebanyakan trak bantuan daripada memasuki Gaza melalui darat.
Sejak serangan bermula pada 7 Oktober lalu, Israel menghalang kemasukan makanan, air, ubat-ubatan dan bekalan asas lain kecuali untuk sedikit bantuan yang memasuki selatan dari Mesir di persimpangan Rafah dan Karem Abu Salem Israel (dipanggil Kerem Shalom oleh Israel).
Menurut Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Negara untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, agensi bantuan dan pegawai kesihatan di Gaza memberi amaran bahawa ini tidak cukup untuk menampung keperluan hampir 2.3 juta orang di kawasan terkepung itu terutamanya mereka di utara Gaza di mana kebuluran sudah hampir memuncak.
Kebuluran berkemungkinan berlaku menjelang Mei di utara Gaza dan boleh merebak ke seluruh kawasan itu menjelang Julai akan datang, kata Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), awal minggu ini.
IPC berkata, 70 peratus penduduk di bahagian utara Gaza mengalami tahap kekurangan makanan yang paling teruk, lebih tiga kali ganda daripada ambang 20 peratus untuk dianggap kebuluran.
Secara keseluruhannya, 1.1 juta rakyat Palestin di Gaza, kira-kira separuh daripada penduduk mengalami kekurangan makanan yang amat teruk.










