‘Orang obes patut bayar lebih’

‘Orang obes patut bayar lebih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Orang obes patut bayar lebih kalau menaiki kemudahan awam sebab mereka duduk di dua kerusi,’.

Itu statement yang keluar daripada mulut seorang warga emas yang duduk di sebelah saya dalam LRT sewaktu perjalanan ke tempat kerja baru-baru ini.

Tidak kuat tetapi cukup jelas pada pendengaran saya. Orang lain termasuk wanita bertubuh besar itu mungkin tidak dengar sebab masing-masing leka menghadap telefon.

Wanita separuh usia itu saya lihat sihat dan tegap, tidak sepadan usianya yang sekitar 60an.

Mukanya masam mencuka sebab kena beralih tempat duduk. Kerusi untuk dua tempat duduk yang dia duduk sebelumi itu, jadi sempit dan tak selesa sebab perempuan yang duduk di sebelahnya itu bersaiz dua kali ganda daripada tubuhnya.

Saya tengok keliling, memang ada dua tiga orang memonopoli kerusi disediakan dalam LRT itu, lantaran saiz tubuh.

Sempat juga wanita berusia itu meluahkan perasaannya kepada saya mengenai anaknya yang baharu berusia 20 tahun tetapi sudah dihinggapi kencing manis.

Dia mengakui buntu memikirkan selera anaknya terhadap makanan dan minuman gaya hidup yang membuak-buak sejak mengikuti ASMR makan di media sosial, empat tahun lalu.

Agaknya emosi risaukan kesihatan anaknya terbawa-bawa hingga ke dalam LRT.

Saya sebenarnya turut bersetuju yang makanan dan minuman gaya hidup ini tidak mendatangkan manfaat pun dari segi kesihatan melainkan pulangan ekonomi kepada penjual.

Soalnya, adakah mana-mana kedai makan yang sanggup meniaga tanpa menawarkan air manis.

Kalau ada yang tawar hanya air kosong, tanpa minuman manis, mungkin jumlahnya tak banyak. Sebabnya hari ini memang ramai suka makan bersulam air manis, termasuk budak kecil.

Betul, tidak adil menyalahkan air manis dan banyak faktor punca berat badan mudah naik dan susah turun ni.

Yang menjadi kerisauan ramai sebab, tak ramai yang mampu mengekalkan berat ideal secara semulajadi, termasuk saya.

Bukan sebab ketagih air manis dan banyak ambil karbohidrat tetapi barangkali sebab peningkatan usiapun ya juga.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), mendedahkan kadar obesiti dan berat badan berlebihan dicatatkan rakyat kita berada pada paras 44.5 peratus pada tahun 2011 dan meningkat kepada 50.1 peratus.

Saya tidak mahu masuk dalam kategori ini. Saya pun bimbang andai kena bayar lebih untuk tiket kenderaan awam hanya kerana saiz seperti saranan wanita yang duduk sebelah saya itu.

Kurang dua minggu masuk bulan Ramadan, semoga kehadiran bulan mulia ini meningkatkan amal ibadah dan semangat kita untuk memperbaiki diet harian.

-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN