ICJ perintah Israel buka sekatan sempadan mudahkan bantuan

ICJ perintah Israel buka sekatan sempadan mudahkan bantuan kemanusiaan

GAMBAR edaran ini dikeluarkan oleh tentera Israel pada 27 Mac lalu ketika memasuki bandar Rafah, selatan Gaza. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebulat suara me­ngarahkan Israel untuk mengambil semua tindakan yang perlu dan berkesan bagi memastikan bekalan makanan asas tiba tanpa berlengah-le­ngah kepada penduduk Palestin di Gaza.

Hakim ICJ berkata dalam satu perintah kelmarin bahawa rak­yat Palestin di Gaza menghadapi keadaan hidup yang semakin teruk dan kes kebuluran sema­kin meningkat.

“Mahkamah memerhatikan bahawa rakyat Palestin di Gaza tidak lagi hanya menghadapi risiko kebuluran, tetapi kebuluran itu sedang berlaku.

“Sekurang-kurangnya 31 orang termasuk 27 kanak-kanak mening­gal dunia akibat kekura­ngan zat makanan dan dehidrasi menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata hakim.

Dalam perintahnya yang mengikat secara sah, mahkamah memberitahu Israel untuk mengambil semua langkah yang perlu dan berkesan untuk memastikan tanpa berlengah-lengah dengan kerjasama penuh dengan PBB.

Perintah itu turut memperuntukkan tanpa halangan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan termasuk makanan, air, bahan api dan bekalan perubatan.

TIADA MEKANISME PENGUATKUASAAN

ICJ bagaimanapun tidak mempunyai mekanisme untuk menguatkuasakan keputusannya.

Langkah baharu itu diminta oleh Afrika Selatan sebagai sebahagian daripada kes berterusannya yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Pada bulan Januari lalu, ICJ juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia mengarahkan Israel untuk menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh jatuh di bawah Konvensyen Genosid dan memastikan bala tenteranya tidak melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Dalam perintah yang dikeluarkan kelmarin, mahkamah mengesahkan tentang langkah Januari lalu tetapi menambah bahawa Israel mesti mengambil tindakan untuk memastikan penyediaan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada rakyat Pa­lestin di seluruh Gaza.

TINGKAT KAPASITI LINTASAN DARAT

Para hakim menambah bahawa ini boleh dilakukan de­ngan meningkatkan kapasiti dan bilangan titik lintasan darat dan mengekalkannya terbuka selama yang diperlukan.

Mahkamah memerintahkan Israel menyerahkan laporan dalam tempoh sebulan selepas perintah itu untuk memperincikan bagaimana ia memberi kesan kepada keputusan itu.

Tiada komen segera daripada Israel mengenai arahan itu.

ISRAEL SEKAT BANTUAN KEMANUSIAAN

Israel terus menyekat bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan meneruskan serangan ketenteraannya yang bermula lebih lima bulan lalu.

Israel melancarkan perang­nya ke atas Gaza selepas pejuang Hamas dari wilayah itu menge­tuai serangan ke atas Israel selatan pada 7 Oktober lalu, membunuh sekurang-kurangnya 1,139 orang, kebanyakannya orang awam, menurut statistik Israel.

Serangan Israel membunuh lebih 32,500 orang, keba­nyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut pihak berkuasa Palestin.

Lebih 80 peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan seluruh kawasan kejiranan diratakan dalam pengeboman dan pencerobohan darat Israel.

Mahkamah berkata bahawa perintah awal yang dikenakan ke atas Israel tidak ditangani sepenuhnya akibat perubahan keadaan di Gaza.

PENINGKATAN PERINTAH

Gabriel Elizondo dari Al Jazeera melaporkan dari ibu pejabat PBB di New York berkata, langkah baharu itu bertujuan sebagai peningkatan perintah atau menonjolkan beberapa langkah sementara yang pernah diumumkan sebelum ini.

Menurut Elizondo, ICJ berkata bahawa ini bertujuan untuk pengubahsuaian kepada langkah-langkah sementara sebelum ini disebabkan oleh perubahan dalam keadaan di Gaza.

“Apabila langkah sementara pertama dikeluarkan pada akhir Januari lalu, rakyat Palestin di Gaza menghadapi risiko kebuluran dan ICJ kini berkata bahawa kebuluran kini sedang berlaku,” kata Elizondo.

Jelasnya lagi, Ini adalah cara untuk mahkamah memberitahu Israel bahawa keadaan menjadi lebih teruk.

Dalam respons bertulis awal bulan ini terhadap permintaan Afrika Selatan untuk mengambil lebih banyak langkah, Israel berkata bahawa tuntutan oleh Afrika Selatan dalam permintaannya adalah tidak berasas sama sekali dari segi fakta dan undang-undang, secara moral menjijikkan dan mewakili penyalahgunaan kedua-dua Konvensyen Genosid dan mahkamah sendiri. – ALJAZEERA/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN