85,000 rakyat Palestin dijangka mati kebuluran enam bulan akan

85,000 rakyat Palestin dijangka mati kebuluran enam bulan akan datang

AFRIKA Selatan mengemukakan permintaan kepada ICJ supaya mengambil tindakan segera terhadap Israel supaya menghentikan peperangan dan melakukan gencatan senjata. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Ketika kebimba­ngan kebuluran di Gaza terus meningkat, Afrika Selatan tidak mempunyai pilihan selain meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengambil tindakan segera bagi me­ngukuh­kan langkah sementara yang diarahkan kepada Israel sebelum ini.

Jika tiada apa yang dilakukan, pakar meramalkan lebih 85,000 rakyat Palestin akan mati kebuluran dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Situasi melampau yang dihadapi lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi Palestin dan risiko eksistensi rakyat Palestin di Gaza yang dihadapi akibat kempen ketenteraan genosid Israel menuntut tindakan selanjutnya oleh mahkamah,” kata Afrika Selatan dalam permohonannya.

Selepas mempertimbangkan kes asal yang dibawa oleh Afrika Selatan yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai, mahkamah mengeluarkan keputusan pada 26 Januari lalu termasuk langkah-langkah sementara yang memerintahkan pihak berkuasa Israel untuk mengambil tindakan untuk mencegah dan menghukum pelakuan atau hasutan untuk melakukan, pembunuhan beramai-ramai.

Selain itu, ICJ memerintahkan Israel segera memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

“Malangnya, Israel tidak me­matuhi perintah mengikat mahkamah tetapi sebaliknya meningkatkan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” kata Pre­siden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dalam kenyataan.

Permohonan segera kepada mahkamah pada Rabu lalu didorong oleh kebimbangan yang semakin meningkat tentang kebuluran di Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa melainkan tindakan diambil, kebuluran yang meluas di wilayah itu hampir tidak dapat dielakkan.

Sekurang-kurangnya 20 ka­nak-kanak dilaporkan me­ninggal dunia akibat kebuluran pada minggu lalu sahaja.

Pada bulan Februari, PBB berkata bahawa lebih daripada satu perempat daripada 2.3 juta orang di Gaza dianggarkan menghadapi tahap bencana kebuluran.

Pendekatan terbaharu Afrika Selatan terhadap ICJ juga didorong oleh ancaman pencerobohan tentera Israel di Rafah yang merupakan tempat perlindungan terakhir bagi le­bih sejuta rakyat Palestin yang dipindahkan dari bahagian lain di Gaza selama lima bulan perang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN