600 aduan kesalahan jalan raya tahun lalu - Utusan Malaysia

600 aduan kesalahan jalan raya tahun lalu

ZULKARNAIN Yasin (kiri) bersama anggotanya memeriksa kenderaan dalam Operasi Bersepadu di Jalan Sultan Mahmud dekat Padang Negara, Kuala Terengganu, malam tadi.- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menerima 600 aduan kesalahan jalan termasuk 403 daripadanya diterima menerusi aplikasi MyJPJ pada tahun lalu.

Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin berkata, kesalahan paling popular adalah melanggar lampu isyarat merah (99 kes), memotong di garisan berkembar (67 kes), memotong di lorong sebelah kiri (55 kes).

Beliau berkata, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini pula JPJ Terengganu menerima 145 aduan dengan 131 daripadanya dibuat melalui aplikasi atas talian itu.

“Kami mendapati penggunaan aplikasi MyJPJ di Terengganu menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah penggunaan semakin bertambah.

“Situasi ini menunjukkan orang ramai semakin menyedari keperluan menjaga keselamatan secara kolektif dan tidak meletakkan tanggungjawab di bahu pihak berkuasa semata-mata.

“Selain bagi tujuan memperbaharui lesen dan cukai jalan, kita telah menerima 403 aduan menerusi aplikasi berkenaan berkaitan kesalahan jalan raya pada tahun lalu,” ujarnya.

Zulkarnain berkata demikian ketika meninjau Operasi Bersepadu bersama pelbagai agensi berkaitan di Jalan Batu Buruk dekat Padang Negara di sini, semalam.

Dalam operasi terbabit, sebanyak 261 notis telah dikeluarkan JPJ atas pelbagai kesalahan menerusi pemeriksaan terhadap 1,514 kenderaan selain tiga buah motosikal yang turut disita.

Zulkarnain memberitahu, kesalahan paling banyak dicatatkan dalam operasi tersebut ialah berkaitan nombor pendaftaran sebanyak 62 kes, kesalahan teknikal (37 kes) dan cermin gelap (29 kes).

“Selain itu, pengguna jalan raya juga dikesan tiada lesen memandu (28 kes), cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans masing-masing 23 kes,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN