KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri membuat keputusan itu hari ini selepas dia didapati bersalah memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Rewcastle-Brown, 65, turut diarahkan menjalani hukuman penjara dua tahun itu bermula tarikh sabit kesalahan iaitu hari ini.
Mahkamah sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita Britain itu kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes berkenaan.
Prosiding perbicaraan kes hari ini dijalankan secara ‘in absentia’ atau tanpa kehadiran di bawah Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah.
Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’ di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK).
Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap wanita itu berhubung fitnah dalam buku tersebut dan menuntut ganti rugi am RM100 juta.
Menerusi saman yang difailkan pada 21 November 2018, Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan itu bermaksud baginda terlibat rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu.
Kenyataan itu juga mengatakan baginda menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.
Pada 23 September 2021, Rewcastle-Brown didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu tanpa kehadirannya sebelum dia memohon untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K. Muniandy, bagaimanapun pada 21 Jun tahun lalu menolak permohonan berkenaan. – UTUSAN










