SAN SALVADOR: Sebuah mahkamah di El Salvador menjatuhkan hukuman penjara melebihi 1,000 tahun terhadap dua anggota kumpulan kongsi gelap yang disabitkan kesalahan mengedar dadah, pengubahan wang haram dan jenayah lain, menurut Pejabat Peguam Negara pada Rabu.
Hukuman berat itu dijatuhkan dalam konteks perang berterusan Presiden berhaluan kanan, Nayib Bukele terhadap kumpulan kongsi gelap yang dilancarkan pada 2022.
Kempen itu telah membawa kepada penahanan lebih 90,000 individu yang disyaki anggota kongsi gelap, dengan ramai daripada mereka ditempatkan di penjara berkeselamatan maksimum yang terkenal di negara itu.
Pendakwa raya dalam hantaran di platform X berkata kumpulan kongsi gelap El Gremio menjadi sasaran atas kesalahan pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan pertubuhan haram.
Dua daripada 28 anggota kumpulan itu masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama 1,048 tahun.
Pada Mac lalu, Kongres yang dikuasai Bukele meluluskan pindaan Perlembagaan yang memansuhkan hukuman penjara maksimum 60 tahun sebelum ini dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup bagi pesalah kes bunuh, rogol dan keganasan.
Hukuman maksimum itu kemudiannya diperluaskan supaya turut terpakai kepada pesalah yang berumur di bawah 18 tahun. – AFP










