TUNIS: Gelombang haba yang melanda Tunisia memburukkan lagi keadaan di Penjara Mornaguia, dengan ketua pembangkang, Rached Ghannouchi pengsan buat sementara waktu akibat cuaca panas melampau.
Haifa Chebbi, anak kepada ahli politik pembangkang yang dipenjarakan, Ahmed Nejib Chebbi, 81, berkata, beliau melihat Ghannouchi, 85, pengsan ketika melawat penjara itu pada Selasa.
Dalam siaran langsung di Facebook selepas lawatan tersebut, Haifa berkata, beliau sendiri hampir tidak mampu bernafas atau berjalan ketika meninggalkan penjara kerana suhu yang terlalu tinggi.
Menurutnya, suhu di dalam Penjara Mornaguia mencecah 52 darjah Celsius ketika lawatan berlangsung.
Beliau berkata, para tahanan menghabiskan sebahagian besar masa mereka di dalam sel berkeluasan tidak lebih 16 meter persegi. Para banduan hanya dibenarkan berada di luar sel selama dua jam sehari.
Pada 2022, bapanya membantu menubuhkan Barisan Penyelamat Nasional (FSN), iaitu gabungan kumpulan sekular, liberal dan Islamis yang menentang pemerintahan Presiden, Kais Saied yang didakwa semakin bersifat autoritarian.
Ahmed Nejib merupakan antara 37 tokoh pembangkang yang didakwa atas tuduhan berkomplot mengancam keselamatan negara pada 2025 sebelum dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk menyifatkan pemenjaraan 37 individu itu sebagai satu kemunduran kepada keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Menurut Turk, proses perbicaraan itu dicemari pelanggaran hak untuk mendapat perbicaraan yang adil dan hak proses perundangan yang sewajarnya, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius mengenai motif politik di sebalik pendakwaan tersebut. Ghannouchi, bekas Speaker Parlimen dan pemimpin pergerakan politik Ennahda, telah dipenjarakan sejak 2023. – AGENSI










