RAWATAN mitraklip dan triklip yang dijalankan kepada pesakit injap jantung bocor bukan untuk menggantikan pembedahan.
Sebaliknya, prosedur invasif minimal itu merupakan alternatif buat golongan komorbid yang berisiko tinggi terhadap pembedahan jantung secara terbuka.
Pakar Perunding Kanan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Amin Arif Nuruddin berkata, sejak diperkenalkan pada 2011, sebanyak 100 kes mitraklip dan triklip sudah dilaksanakan di institusi itu.
“Rawatan ini sangat selamat terutama bagi warga emas yang ada komplikasi penyakit di samping fungsi jantung yang kurang memuaskan.
“Bahkan, ramai yang sudah mendapat manfaat daripadanya,” katanya pada sidang akhbar kejayaan
IJN melaksanakan rawatan mitraklip dan triklip kepada pesakit ke-100 baru-baru ini.
Yang hadir sama, Pengarah Klinikal Kegagalan Jantung & Pemindahan IJN merangkap Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Azmee Mohd. Ghazi.
Pesakit ke-100 itu merupakan lelaki warga emas berusia 79 tahun yang berdepan masalah sesak nafas, kurang selera makan dan bengkak kaki selama hampir dua tahun.
IJN merupakan insitusi pertama di negara ini menawarkan rawatan mitraklip bermula pada 2011 manakala triklip pula pada Mac tahun lalu.
Rawatan itu dilakukan dengan menggunakan peranti mitraklip dan triklip yang dimasukkan ke dalam jantung melalui saluran darah di kaki.
Tempoh rawatan berkenaan adalah antara dua ke tiga jam dengan kos antara RM130,000 hingga RM150,000.
Sementara itu, Dr. Azmee berkata, injap bocor yang tidak dirawat boleh mengakibatkan jantung membesar secara progresif dan akhirnya membawa kepada kegagalan fungsi. – UTUSAN










