GAZA CITY: Mesir meningkatkan kawalan keselamatan di sempadannya selain berhati-hati supaya limpahan perang Israel ke atas Hamas tidak memasuki ke wilayahnya jika tentera Israel memulakan serangan darat ke atas bandar paling selatan wilayah itu, Rafah.
Bandar itu kini dihuni lebih separuh daripada penduduk Gaza yang berlindung daripada serangan tentera rejim Zionis.
Menurut pegawai keselamatan Mesir kepada CNN, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga menjelang operasi darat Israel yang dijangka ke Rafah.
KERAH LEBIH BANYAK TENTERA
Sebagai sebahagian daripada usaha keselamatannya, pegawai itu berkata, Mesir mengerahkan lebih banyak tentera dan jentera di Sinai Utara, bersempadan dengan Gaza.
Mesir adalah negara Arab pertama yang mengiktiraf Israel pada 1979.
Kedua-duanya menandatangani perjanjian penting yang menyaksikan Israel mengembalikan Semenanjung Sinai yang ditawannya dari Mesir dalam perang 1967 sebagai pertukaran untuk keamanan.
Perjanjian itu juga mengehadkan bilangan tentera yang ditempatkan di sempadan antara Mesir dan Gaza yang pada masa itu dikuasai oleh Israel.
Perjanjian itu menjadikan Mesir sebagai ‘paria’ di dunia Arab, tetapi beberapa dekad kemudian membantu membuka jalan bagi negara Arab lain untuk menandatangani perjanjian serupa dengan Israel.
Media Barat termasuk Associated Press dan The New York Times melaporkan Mesir mengancam untuk membatalkan perjanjian damai jika tentera Israel menyerang Rafah.
Bagaimanapun, Menteri Luar Mesir menolak laporan itu, tetapi dalam sidang akhbar semalam berkata, Kaherah akan mematuhi perjanjian itu selagi ia kekal timbal balik, lapor akhbar Ahram milik kerajaan berkenaan.
BIMBANG DENGAN OPERASI ISRAEL
Seorang pegawai Israel mengakui bahawa Mesir bimbang dengan operasi ketenteraan Israel, tetapi mereka tidak mengetahui ancaman khusus mengenai perjanjian itu.
Dalam perkembangan berkaitan, dua penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal memberitahu Reuters bahawa mereka melarikan diri dari Rafah menjelang serangan darat Israel yang dijangka menuju ke bandar Khan Younis di selatan Gaza dan Al-Maghazi di jalur tengah.
Lebih 1.3 juta orang atau lebih separuh daripada penduduk Gaza dipercayai berada di Rafah, dengan kebanyakan pelarian dari bahagian lain kawasan yang terkepung itu bersesak-sesak ke dalam bandar berhampiran sempadan Mesir.
Nahla Jarwan yang terlantar memberitahu Reuters bahawa dia pada asalnya melarikan diri dari Al-Maghazi ke Rafah, tetapi kini kembali ke Al-Maghazi.
“Malam tadi, di Rafah sangat sukar. Kami akan kembali ke Al-Maghazi kerana ketakutan. Kami berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain.
HARAPKAN SIMPATI
“Saya berharap dunia berdiri bersama kami dan memandang kami dengan mata yang baik dan penuh belas kasihan. Kami sentiasa menangis. Syahid, tembakan, kemusnahan, kematian, kelaparan, dahaga dan tiada makanan,” katanya sambil menambah bahawa ke mana sahaja mereka pergi, tiada jaminan keselamatan.
Seorang lagi warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal, Mo’men Shbair, memberitahu Reuters bahawa dia berdoa agar dunia menekan Israel untuk menamatkan perang.
“Kami sesat. Kami tidak tahu ke mana hendak pergi. … Kami penat. Kami berjalan-jalan tanpa tahu ke mana hendak pergi,” katanya.
Mo’men berkata, dia berada di Khan Younis dan menuju ke Rafah untuk keselamatan. Kini, kembali ke Khan Younis.–AGENSI











