Israel kenakan sekatan ke Masjid Al Aqsa pada bulan Ramadan

Israel kenakan sekatan ke Masjid Al Aqsa pada bulan Ramadan

MASJID Dome of the Rock di pekarangan Masjid Al-Aqsa kelihatan dari jauh ketika umat Islam Palestin berkumpul untuk solat Jumaat di timur Baitulmuqaddis di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan kumpulan militan Hamas di Gaza. -AFP ​
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Selepas berikrar akan menyerang Rafah di selatan Gaza, Israel akan mengenakan sekatan akses ke Masjid Al-Aqsa di Kota Lama Baitulmuqaddis Timur sepanjang bulan Ramadan bagi umat Islam menunaikan ibadat.

Menurut Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, langkah ini dibuat bagi mengikut keperluan keselamatan.

Kompleks Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci untuk umat Islam terletak di atas bukit di Kota Lama Baitulmuqaddis. Tapak ini juga dihormati oleh orang Yahudi yang merujuknya sebagai Gunung Kuil.

Katanya, sekatan akses itu bagi mengelakkan pergeseran dua pihak terutamanya sekitar cuti keagamaan seperti Ramadan yang bermula kira-kira 10 Mac tahun ini.

Pejabat Netanyahu berkata, Perdana Menteri sudah membuat keputusan seimbang dalam ke­perluan keselamatan yang ditentukan oleh kalangan profesional.

Bagaimanapun, pejabatnya tidak memberikan butiran lanjut mengenai langkah yang dikenakan itu.

Hamas, kumpulan Palestin yang mentadbir Gaza turut mengecam sekatan yang dirancang dan menggesa rakyat Pa­lestin untuk bergerak menentangnya.

Sekatan itu digambarkan sebagai pengekalan jenayah Zionis dan peperangan agama yang diketuai oleh kumpulan pe­neroka pelampau dalam kerajaan pendudukan pengganas terhadap rakyat Palestin.

Kumpulan itu menyeru rak­yat Palestin di Israel, Baitulmuqaddis dan Tebing Barat untuk menolak keputusan jenayah ini, menentang keangkuhan dan kesombongan pendudukan serta bergerak untuk berdiri teguh di Masjid Al-Aqsa.

Israel sering menetapkan peraturan untuk mengehadkan bilangan jemaah di tapak itu dengan alasan keselamatan.

Tentera Israel sebelum ini sering melakukan serbuan ganas di tapak tersebut semasa Ramadan.

Pengumuman itu dibuat ketika Israel memberi amaran bahawa ia akan meneruskan serangan ke atas Gaza sepanjang Ramadan, termasuk di kawasan Rafah yang padat dengan penduduk di selatan.

“Dunia mesti tahu dan pe­mimpin Hamas mesti tahu. Jika menjelang Ramadan para tebusan tiada di rumah, pertempuran akan berterusan di mana-mana termasuk kawasan Rafah.

“Kami akan berbuat demikian dengan cara yang disela­raskan, memudahkan pemindahan orang awam dalam dialog dengan rakan kongsi Amerika Syarikat dan Mesir dan untuk meminimumkan korban awam sebanyak mungkin.”

“Hamas ada pilihan. Mereka boleh menyerah diri, membebaskan tebusan dan orang awam Gaza boleh menyambut Ramadan,” kata anggota Kabinet perang, Benny Gantz.

Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu selepas Hamas mengetuai sera­ngan ke atas Israel, membunuh sekurang-kurangnya 1,139 orang, menurut kiraan Al Jazeera berdasarkan angka rasmi.

Ia juga membawa kira-kira 250 tebusan. Pengeboman dan pencerobohan darat Israel ke atas Gaza membunuh lebih 29,000 orang, menurut pihak berkuasa Palestin.–ALJAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN