NAZARETH: Industri pelancongan Israel dilaporkan merudum dan berada dalam krisis selepas berlaku serangan 7 Oktober tahun lalu.
Restoran dan kedai yang biasanya menjadi tumpuan jemaah Kristian ditutup dan banyak hotel ditutup selama berbulan-bulan.
Perang Gaza yang bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober telah menjerumuskan industri pelancongan negara itu ke dalam krisis baharu sama seperti dilanda wabak Covid.
Pengurus asrama Fauzi Azar di Kota Lama, Marwa Taha Abu Rani berkata, dia berasa kemasukan pelancong sudah mula baik pada penghujung September, awal Oktober lalu.
Namun, katanya, dengan meletusnya perang, tempahan rumah tamunya daripada kumpulan Abraham Hostel dan terletak di rumah abad ke-19 yang megah, dibatalkan.
“Kami kini tidak bekerja sama sekali. Tiada sesiapa datang,” katanya.
Ekonomi di bandar Nazareth yang terletak di kawasan bukit di Israel utara sangat bergantung kepada jemaah haji Kristian menjadikannya tumpuan bagi industri pelancongan Israel secara keseluruhan.
Walaupun semasa musim rendah pada kalendar pelancongan tahunan Israel, bandar ini menjadi luar biasa kosong.
Menurut Kementerian Pelancongan, industri pelancongan menyumbang kira-kira tiga peratus daripada ekonomi Israel dan menggaji kira-kira 200,000 warga Israel secara langsung.
Negara itu diunjurkan berjaya menarik 5.5 juta pelawat pada 2023, sejuta lebih daripada rekod tertinggi 2019.
Bagaimanapun, 7 Oktober tahun lalu mengubah semua itu.
Serangan Hamas ke atas Israel selatan mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Sekurang-kurangnya 27,840 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita, kanak-kanak dan remaja terbunuh di Gaza dalam serangan balas Israel dan serangan darat sejak 7 Oktober lalu, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas.
Pelancong asing ke Israel hilang serta-merta selepas serangan itu, banyak syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke Israel sekali gus menyebabkan pemandu pelancong, kakitangan hotel, pemandu bas dan lain-lain tidak lagi bekerja.
Hanya sekitar tiga juta orang melawat Israel menjelang akhir 2023, kata kementerian itu.
Banyak hotel kini menerima pembiayaan kerajaan untuk menempatkan warga Israel yang kehilangan tempat tinggal akibat perang dari kawasan berhampiran Gaza dan dari sepanjang sempadan utara dengan Lubnan, digegarkan oleh tembakan rentas sempadan dengan kumpulan militan Hizbullah.
Penasihat Kanan Menteri Pelancongan Israel, Peleg Lewi memberitahu, krisis baharu sektor itu yang dicetuskan oleh perang tidak mungkin reda dalam tempoh singkat.
“2023 adalah tahun kami pulih daripada Covid dan ia sepatutnya menjadi tahun paling berjaya dalam sejarah Israel,” katanya.
Peperangan besar Israel sebelum ini pada 2006 menentang Hizbullah dan pada 2014 menentang Hamas, masing-masing berlangsung kurang daripada dua bulan dan kesan ekonominya adalah terhad, kata Michel Strawczynski, seorang ahli ekonomi di Universiti Hebrew Jerusalem.
Kini Israel terlibat dalam pertempuran selama lebih empat bulan dengan kedua-dua kumpulan militan dan memanggil ratusan ribu pasukan simpanan.










