Tiga lelaki mengaku salah seludup kambing - Utusan Malaysia

Tiga lelaki mengaku salah seludup kambing

MUHAMMAD Hafihnizam Idris (kanan), Mohammad Sharif Abd. Rahman (tengah) dan Mohd. Farhan Ab. Rahim (dua, kiri) selepas keluar Mahkamah Majistret Setiu di Setiu hari ini. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Tiga lelaki mengaku salah menyeludup kambing disyaki dari Thailand dalam dua kes berasingan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Dalam kes pertama, dua lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku salah menyeludup 78 ekor kambing yang bernilai RM22,951.20 pada Disember tahun lalu.

Majistret Ainis Abu Hassan Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Hafihnizam Idris, 30, dan Mohammad Sharif Abd. Rahman, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa memindahkan 78 kambing yang dimasukkan ke dalam guni setiap ekor dengan menggunakan lori jenis Isuzu tanpa memiliki Perakuan Kebenaran Pindah dan Kesihatan Veterinar daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan di Kampung Penarik, di Permaisuri, Setiu, pada pukul 7.50 petang pada 13 Disember 2023 tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut perenggan 4(1)(c) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah bagi (Negeri Terengganu) (Tr.P.U.1) 2023 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) akta sama yang membawa denda maksimum RM15,000.

Sementara itu, dalam kes kedua pula seorang pemandu lori didenda RM 8,000 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan yang sama.

Mohd. Farhan Ab. Rahim, 36, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Ainis.

Tertuduh didakwa memindahkan 49 ekor kambing betina disyaki dari Thailand bernilai RM13,160 tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhadapan Mahkamah Setiu, di sini kira-kira pukul 08.45 malam pada 12 Julai 2023.

Kedua-dua prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Mohd. Shahihan Mohd. Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya