Rawat HPV elak tukar jadi kanser

Rawat HPV elak tukar jadi kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBANYAK 90 peratus kes jangkitan virus Human Papiloma (HPV) pada bahagian kemaluan wanita dilaporkan bersifat sementara dan akan hilang.

Namun, jangkitan itu boleh berterusan hingga sel-sel virus pada serviks bertukar menjadi ‘garang’ (dysplasia).

Situasi itu dikenali sebagai prakanser, yang boleh mendorong kepada kanser lain seperti vulva, vagina, anus dan zakar.


Pensyarah Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee berkata, pesakit turut berisiko mendapat ketuat di kelamin di samping keabnormalan sel pada organ itu.

“Walaupun jangkitan virus itu boleh berlaku sesama pasangan seksual, tetapi ia bukan seperti penyakit kelamin lain seperti Aids dan gonorea,” katanya.

Kanser serviks merupakan yang ketiga tertinggi dalam kalangan wanita di negara ini selepas payudara dan usus.

Kesedaran awal tentang virus ini amat penting bagi mencegah ancaman kanser serviks dalam kalangan wanita.

Dr. Mohamad Nasir berkata, antara gejala kanser serviks ialah penurunan berat badan dan tiada selera makan.

Namun, katanya, kedua-dua gejala itu berlaku apabila sel kanser sudah merebak ke seluruh badan disebabkan pesakit lewat mendapatkan diagnosis.

“Jika situasi tersebut dikesan, maka pemeriksaan lanjut akan dibuat termasuk mengambil cebisan pada servik.

“Prosedur minor itu bagaimanapun tidak menyakitkan dan tiada komplikasi serius,” katanya.

Pemeriksaan CT scan dan MRI akan turut dilakukan mengikut keperluan untuk mengetahui kadar perebakan kanser serta peringkatnya.

Pembedahan pembuangan rahim boleh dijalankan jika kanser di peringkat awal iaitu tahap 2A dan ke bawah.

Tetapi, sekiranya keadaan serius, pesakit perlu menjalani rawatan radioterapi dan kemoterapi.

PENCEGAHAN KANSER
Vaksinasi terbukti mengurangkan risiko kanser sehingga 97 peratus.

Antara langkah pencegahan kanser serviks ialah vaksinasi HPV yang giat dijalankan dalam kalangan pelajar berumur 13 tahun.

Malangnya, vaksinasi itu hanya tertumpu kepada perempuan sahaja sedangkan, kajian mendapati vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak lelaki juga akan meningkatkan perlindungan kanser lebih tinggi.

“Hal tu kerana risiko lelaki mendapat transmisi virus ini lebih tinggi daripada wanita, namun, mungkin disebabkan oleh faktor kos, maka pematuhan ini tidak dapat dijalankan lagi,” kata Dr. Mohamad Nasir.

Sementara itu, saringan pap smear juga dapat mengurangkan kadar kes baharu dan kematian disebabkan kanser.

Tetapi sehingga sekarang kadar saringan amat mendukacitakan, iaitu sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja wanita yang tampil.

“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka yang berkahwin dan berumur 25 tahun melakukan saringan ini setiap tiga tahun sekali.

“Dengan adanya teknologi dan perkembangan sains perubatan, saringan bukan hanya melalui pap smear tetapi juga melalui pengesanan HPV DNA (high risk), iaitu jenis virus penyebab kanser (oncogenic).

“Ini dapat dilakukan melalui pemeriksaan calitan serviks yang sangat mudah, dan tidak memudaratkan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mohamad Nasir berkata, kerajaan giat berusaha untuk memudahkan urusan pengambilan sampel itu melalui teknik self-sampling bagi mengurangkan rasa segan pesakit.

Jika ujian saringan itu menemukan jangkitan HPV dan keabnormalan pada serviks, pesakit akan dirujuk kepada kepada pakar kanser sakit puan untuk ujian kolposkopi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya